Sabtu, 30 Mac 2019

Pemuda UMNO bimbang Yadim salah guna duit zakat MAIWP

ISMA WEB

Yadim dikatakan ambil 'orang politik' jadi perunding di pejabat yang dipertua, bayar gaji antara RM10,000 hingga RM12,000 sebulan


BANGI – “Lebih membimbangkan jika Yadim terpaksa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menanggung segala kos tambahan ini kerana peruntukan kerajaan kepada Yadim adalah amat terhad.”

Demikian kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas isu urus tadbir dan perbelanjaan yang sekarang ini terpaksa ditanggung Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), susulan pengambilan kakitangan baharu yang didakwanya terdiri daripada kalangan ‘orang parti’.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, supaya campur tangan dan memperbetulkan urus tadbir Yadim.

Mendedahkan isu terbaharu Yadim dalam Facebooknya malam ini, beliau mendakwa diberitahu bahawa yayasan itu terpaksa menanggung kos emolumen yang tinggi, kerana pengambilan ramai kakitangan baharu untuk pejabat Yang Dipertua Yadim, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang terdiri daripada orang parti.

“Setiap pegawai khususnya dengan jawatan sebagai perunding (konsultan) dibayar dengan gaji besar antara RM10,000 hingga RM12,000 seorang. Dengan jumlah sedemikian untuk dibayar kepada beberapa pegawai yang telah ditawarkan jawatan tersebut khabarnya kos pejabat YDP sahaja mencecah RM50,200 sebulan.

“Ini bermakna Yadim harus menanggung lebih daripada setengah juta setahun semata-mata untuk membayar gaji-gaji para pegawai di Pejabat YDP!,” katanya.

Asyraf menimbulkan persoalan di mana Yadim akan memperoleh wang membayar gaji perunding dan pegawai baharu yang mencecah lebih RM500,000 dan hanya berperanan di pejabat Nik Omar sahaja.

“Bagaimanakah kewangan Yadim akan terus kekal mapan jika kos melonjak tinggi dengan pembukaan cawangan-cawangan seluruh Malaysia, sedangkan Yadim boleh sahaja menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini?,” katanya.

Beliau berkata, adalah wajar dalam keadaan kerajaan Pakatan Harapan meminta penjawat awam mengikat perut, Yadim sepatutnya memanfaatkan sahaja lebih kurang 200 kakitangan sedia ada.

“Hentikanlah usaha merubah Yadim seolah-olah menjadi seperti parti politik dengan melantik pegawai-pegawai baharu di kalangan orang parti dan mewujudkan cawangan di negeri-negeri yang bakal membebankan institusi.

“Lebih malang sekali jika sebuah institusi Islam yang banyak jasanya kepada umat Islam hampir 5 dekad runtuh hanya untuk memuaskan agenda politik kepartian!,” katanya.


Tiada ulasan: