Selasa, 26 Mac 2019

Pekebun kecil terpaksa ganda tanaman sawit, kata persatuan




KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga sawit ternyata memberi kesan kepada pekebun kecil yang terpaksa menggandakan hasil tanaman sawit supaya dapat meraih pendapatan bagi menandingi pengusaha ladang, kata Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).

Presiden Aliasak Ambia berkata pengusaha ladang tidak alami kerugian tinggi apabila harga minyak sawit jatuh jika dibandingkan dengan pekebun kecil.

“Sekarang harga buah tandan segar berada pada kadar RM300-RM350 setan berbanding RM450-RM500 setan beberapa tahun dahulu tapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ada harga naik sedikit.
“Tetapi ia tidak beri kelebihan besar kepada pekebun kecil sebab tanaman mereka berapa hektar sahaja.

“Kita cuma boleh nasihat supaya pekebun kecil tingkatkan hasil tanaman. Kalau pengusaha ladang hasilkan 18 ke 20 tan, pekebun kecil yang hanya 10 ke 12 tan perlu tingkatkan sekurang-kurangnya 15 ke 16 tan setahun,” katanya kepada FMT.

Menurut Aliasak, pekebun kecil ketika ini seolah-olah berada dalam keadaan terdesak dan tertanya-tanya apakah perancangan kerajaan dalam mencari penyelesaian bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya baru sahaja pulang daripada bertemu dengan pekebun-pekebun di Bukit Kepong, Muar (Johor) dan rata-rata meluahkan rasa bimbang dan tidak berpuas hati kenapa harga sawit masih tidak naik.

“Kita terangkan harga tidak boleh dikawal sebab ia berdasarkan pasaran antarabangsa tapi mereka tak faham dan berharap kerajaan dapat naikkan harga semula,” katanya.

Katanya, salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil adalah pemantauan sepenuhnya daripada agensi kerajaan.

“Untuk lipatgandakan hasil tanaman pekebun kecil bukan mudah, ia perlukan pemantauan khusus.

Kalau pengusaha ladang, mereka ada lebih 10 pengurus, tapi pekebun upah pekerja kampung sahaja.

“Sebab itu kita harapkan agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) buat pemantauan terhadap pekebun-pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, Aliasak berharap kerajaan terus pertahankan industri sawit pada masa akan datang.

“Kita sudah lama perjuangkan isu sekatan minyak sawit di Eropah, adakan piket di kedutaan EU (Kesatuan Eropah), hantar banyak memorandum dan surat, tapi disebabkan mereka ada bagi maklum balas, kita tak jadi boikot.

“Baru-baru ini perdana menteri pun terlibat sama pertahankan industri sawit. Ini tindakan yang tepat. Kalau tak nak beli tidak apa, tapi jangan tuduh dan busukkan nama industri,” katanya.

Dua minggu lepas, Parlimen Eropah berkata perusahaan sawit di Indonesia dan Malaysia menyebabkan penebangan hutan yang melampau, sekali gus bertentangan dengan hasrat benua itu untuk mencapai sasaran penggunaan sumber tenaga diperbaharui sebanyak 20% serta menghentikan aktiviti penebangan hutan menjelang 2020.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, kerajaan akan bertindak balas jika Eropah terus berdegil mengenakan sekatan import minyak sawit dari Asia Tenggara.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok pula berkata, kerajaan sedang berusaha untuk memasarkan minyak sawit di Afrika dan Timur Tengah bagi mengelak daripada hilang kedudukan dalam pasaran.
56 Shares

Tiada ulasan: