Sabtu, 30 Mac 2019

ASET TH DISELIA BUKAN ISLAM?

Wartawan Watan-Online
 


 
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mewujudkan ‘syarikat tujuan khas’ (SPV) di bawah seliaan kementerian kewangan bagi menguruskan aset Tabung Haji.

Katanya tindakan untuk tidak meletakkan SPV itu di bawah TH sendiri mengakibatkan kecurigaan berasas dalam kalangan rakyat.

“Apatah lagi Kementerian Kewangan kini diterajui Lim Guan Eng yang rata-rata rakyat mempersoalkan komitmen beliau dan pendirian partinya, DAP terhadap agenda Islam selama ini,” tegas beliau melalui kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelantikan CEO Prokhas yang bukan beragama Islam turut menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.

“Malah Prokhas Sdn Bhd pula menjadi syarikat yang bertanggungjawab penuh menguruskan SPV berkenaan.

“Paling digusari Kementerian Kewangan sejak di bawah Lim Guan Eng kini banyak menjual aset-aset strategik negara.

“Tentunya ada asas untuk umat Islam bimbang bahkan berhak untuk curiga, apakah aset-aset strategik Tabung Haji juga akan mengalami nasib yang sama?”

Asyraf mengambil contoh, aset strategik TH iaitu Tanah TRX yang dibeli dulunya pada harga RM196 juta kini dinilai meningkat kepada RM400 juta walaupun projek di kawasan tersebut belum selesai.

“Jika siap kelak TRX mampu mencecah RM40 billion (sebagaimana kenyataan Lim Guan Eng sendiri).

“Apa jaminan aset strategik umat Islam di tengah-tengah Bandaraya KL tidak menjadi mangsa dan terlepas ke tangan orang lain?,” katanya.


Tiada ulasan: