Yunus Tasim
Orang Melayu memang sensitif tentang isu bangsa, agama dan hak
keistimewaan mereka. Apatah lagi ia termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia. Sudah terpahat di batu.
Justeru untuk meraih sokongan orang Melayu, naratif politik mesti
dibuat menggunakan 3 perkara tersebut. Begitu juga jika adanya “musuh”
yang dihadapi, tuduhan orang Melayu akan berkisar sekitar 3 perkara itu.
Inilah yang berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969. Naratif bercampur
tuduhan dicipta khusus untuk DAP. Tujuannya untuk menjauhkan orang
Melayu dari parti itu sampai ke tahap menolak DAP dan sesiapa sahaja
yang bersekongkol dengannya.
“Parti orang Cina” bukan sahaja DAP. MCA, Gerakan, SUPP dan
banyak lagi parti orang Cina di Sabah dan Sarawak. Orang Melayu juga
tahu, orang Cina akan bersatu dalam memperjuangkan “isu Cina”. Orang
Cina dalam MCA dan Gerakan pasti bersatu dengan DAP walaupun di depan
kelihatan mereka bercakaran. Ini semua orang Melayu “tahu”.
Orang Melayu juga tahu Umno selama ini berjaya “membuli” dan
“menundukkan” pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN). Ini termasuklah
MCA, Gerakan dan parti Cina dari Sabah dan Sarawak. Maka strategi Umno
ialah mengisolasikan orang Cina dalam DAP sebagai satu-satunya musuh
utama bagi menolak mana-mana gabungan politik yang dianggotai DAP.
Sejarah slogan “Malaysian Malaysia”
Sejarah juga memainkan peranan. Apabila PAP Malaya diharamkan setelah
Singapura berpisah dari Malaysia, pemimpin PAP Malaya menubuhkan DAP
pada tahun 1965. DAP mengekalkan gagasan “Malaysian Malaysia” yang
didakwa dicipta oleh mendiang Lee KuanYew yang merupakan penyebab
perpecahan Malaysia-Singapura.
Struktur DAP dilihat seiras dengan PAP di mana pemimpin utamanya
adalah setiausaha agung parti.
Jika orang Melayu melihat PAP
bertanggungjawab menguburkan hak orang Melayu di Singapura, maka hujah
yang sama digunakan terhadap DAP jika mereka berkuasa di Malaysia.
Maka diciptalah pelbagai naratif negatif terhadap DAP. Tujuannya
supaya orang Melayu takut dan benci terhadap parti itu. Naratif itu
kebanyakannya kekal dengan DAP sehingga hari ini, walaupun ia telah
menjadi salah sebuah parti kerajaan.
DAP parti chauvinis Cina, DAP=PAP, DAP anti Melayu, DAP anti kuasa
politik Melayu, DAP anti hak keistimewaan Melayu, DAP anti Raja-raja
Melayu, DAP anti Islam, DAP parti komunis, dan banyak lagi adalh
sebahagian daripada naratif tersebut.
Bagi orang Melayu, DAP di lihat sebagai hantu jembalang jelmaan PAP
dan Lim Kit Siang sebagai jelmaan Lee Kuan Yew yang begitu menakutkan
orang Melayu.
Orang Melayu melihat gagasan Malaysian Malaysia mencabar dan
bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Justeru orang
Melayu melihat ahli DAP yang memperjuangkan konsep “Malaysian Malaysia”
sebagai menolak Perlembagaan negara
DAP sebagai kerajaan
Orang Melayu skeptikal bila DAP memenangi pilihan raya negeri dan
memerintah Pulau Pinang tahun 2008. Orang Melayu Umno sengaja mencari
kesalahan dan mencipta kelemahan DAP berkaitran isu tanah orang Melayu,
peruntukan untuk Majlis Agama Islam, seruan azan di masjid dan surau
serta pelbagai program pembangunan lain.
Sebenarnya orang Melayu juga tahu semasa BN memerintah, bukan Umno
yang memerintah Pulau Pinang. “Parti Cina” Gerakan menerajui Pulau
Pinang sejak 1969. Tanah milik orang Melayu yang tergadai bukan hanya
berlaku ketika DAP memerintah, malah bermula sebelum 1969 lagi.
Yang nyata segala tohmahan ciptaan Umno itu merupakan fitnah jahat.
Lim Kit Siang tidak menjadi timbalan perdana menteri, tidak juga menteri
Kabinet.
Tun M, PPBM dan Amanah tidak juga menjadi tunggangan DAP seperti yang
dihebohkan. Orang Melayu harus sedar bahawa semua slogan dan naratif
ciptaan Umno itu adalah mainan politik yang licik yang suka
memecah-perintah orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Apakah DAP harus korbankan gagasannya?
Pastinya DAP telah melihat dan merasai pelbagai karenah dalam
menguruskan sebuah kerajaan, sama ada pusat mahupun negeri. Mahu tidak
mahu, DAP harus menerima hakikat bahawa gagasan Malaysian Malaysianya
merupakan liabiliti kepada kerajaan PH.
Setiap kali pilihan raya, mantra dan naratif berhantu yang lahir dari
gagasan Malaysian Malaysianya itu akan diulang-ulang oleh PAS dan Umno
dan sukar untuk PH mempertahankannya.
Persoalannya, apakah DAP sanggup mengorbankan gagasan itu, sekali gus
mengangkat Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara sebagai asas perpaduan
dan pembangunan negara?
Kalau DAP sanggup mengumumkan secara terbuka dan ikhlas untuk
meminggirkan gagasan Malaysian Malaysia dariada perjuangannya atau
menyusunnya semula supaya orang Melayu melihat bahawa DAP menerima
hakikat peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, pastinya itu
merupakan pengorbanan besar yang akan membasmi politik perkauman sempit
daripada kehidupan rakyat Malaysia.
Dengan itu akan berkuburlah naratif dan tuduhan perkauman yang
berhantu dan menjadi langkah awal ke arah politik matang dan progresif
yang melewati batas perkauman sempit dan keagamaan ekstrim yang
menghambat integrasi nasional selama ini.
Tetapi, mahukah DAP mempelopori gagasan baru ini?
*Yunus Tasim adalah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan