Jumaat, 29 Mac 2019

720 Orang Asli dapat air paip

Mohd Rafi Mamat




SERAMAI 720 penduduk tiga perkampungan Orang Asli menerima seunit sistem kemudahan bekalan air paip dibawah Projek Pembinaan Sistem Bekalan Air Tanah Ringkas (SPATR), di Cameron Highlands.

Tiga kampung yang menerima kemudahan itu ialah Kampung Sungai Tiang, Kampung Chohong dan Kampung Sungai Kabuk.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Ajis Sitin berkata, projek SPATR itu mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) yang mempunyai pengalaman menggunakan sistem itu.

Katanya, ia adalah kerja pemulihan telaga lama yang siap sepenuhnya akhir tahun lalu, sekali gus kemudahan berkenaan memberi lebih keselesaan kepada penduduk di tiga kampung berkenaan.

“Kita sentiasa memberi perhatian kepada kemudahan asas masyarakat Orang Asli terutama membabitkan bekalan air bersih bagi memastikan tidak berlaku masalah kesihatan disebabkan sumber air.

“Kita berharap penduduk di tiga kampung yang menerima kemudahan SPATR dapat menggunakan sebaik mungkin bantuan yang disediakan kerajaan, kerjasama masyarakat setempat dapat menjamin jangka hayat peralatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Penyerahan Projek SPATR di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, di Cameron Highlands, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar EffendiAbdullah dan Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi.

Ajis berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan luar bandar seluruh negara.

“Banyak projek dirancang yang akan disediakan secara berperingkat. Kita turut berharap Orang Asli dapat bersabar menunggu setiap projek yang dirancang kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: