Rabu, 27 Mac 2019

Tiada bukti kaitkan pelanggaran van, jentera bomba dengan manusia - Saksi

MALAYSIAKINI



   
INKUES | Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini diberitahu pemeriksaan ke atas jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tidak menemui sebarang bukti untuk mengaitkan pelanggaran di antara dua kenderaan itu dengan manusia, semasa kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November lepas.

Pegawai Sains dari Jabatan Kimia Malaysia, Muhamad Firdhaus Ramli berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu dilakukannya sembilan hari selepas kejadian iaitu pada 5 Disember setelah menerima permintaan daripada pihak polis.

"Ketika pemeriksaan, tiada sebarang baju, fiber atau bukti biologi seperti rambut, darah ditemui pada kedua-dua kenderaan," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sebagai pegawai pengendali inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kenal pasti penglibatan manusia

Faten: Boleh jadi atau tidak, pelanggaran kenderaan dengan manusia tanpa meninggalkan bukti fiber atau biologi?

Mohd Firdhaus: Boleh.

Faten: Adakah bukti biologi boleh hilang jika kenderaan itu berada dalam keadaan terdedah dan tidak tertutup beberapa hari sebelum pemeriksaan dibuat?

Mohd Firdhaus: Pada pendapat saya bukti biologi boleh hilang atas sebab faktor persekitaran seperti hujan.

Faten: Menurut polis, dua kenderaan itu (FRT dan EMRS) telah diserang perusuh menggunakan senjata dan tangan, apa yang menyebabkan DNA tidak ditemui?

Mohd Firdhaus: Jika mengikut sains, sekiranya ada pelanggaran mesti ada sentuhan fizikal tetapi pemeriksaan saya tiada menjumpai bukti biologi.
Saksi ke-26 itu berkata, pemeriksaan ke atas dua kenderaan itu dilakukannya pada 5 Disember, jam 10 pagi selepas diarahkan Pengarah Bahagian Kriminalistik untuk membuat pemeriksaan terhadap FRT dan van EMRS di IPD Subang Jaya.

"Pemeriksaan dibuat untuk memeriksa pelanggaran dua kenderaan bomba itu dan mengenal pasti penglibatan manusia atau tidak," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat kerosakan pada FRT di bahagian belakang sisi kiri hadapan, dan cermin hadapan retak.

"Manakala pemeriksaan ke atas van EMRS mendapati ada kerosakan di bahagian hadapan iaitu ada lekuk yang konsisten dengan FRT," katanya sambil menambah antara spesimen yang diambil adalah cat hitam, cat merah, putih dan kuning daripada kenderaan berkenaan.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.- Bernama


Tiada ulasan: