Rabu, 27 Mac 2019

Bekas naib presiden MIC, tiga lagi individu maut di Kulai

Bernama
Bekas naib presiden MIC, tiga lagi individu maut di Kulai
Kenderaan dinaiki Balakrishnan (gambar) dipercayai dirempuh lori yang dari arah bertentangan yang telah hilang kawalan dan melanggar besi tengah pembahagi jalan. --fotoBERNAMA/Fail
 

JOHOR BAHRU: Bekas naib presiden MIC Tan Sri S Balakrishnan, bersama tiga lagi individu maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kulai, dekat sini, tengah malam tadi.

Selain pemimpin berusia 65 tahun itu, turut maut ialah G. Ravi, 55, A. Ragu, 47, dan V. Vishnukumar, 44 tahun.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang turut bersama Balakrishnan ketika kejadian dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam ketika kereta jenis Toyota Vellfire yang dinaiki kesemuanya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Bagaimanapun, sampai di satu kawasan, sebuah lori yang dari arah bertentangan dilaporkan telah hilang kawalan lalu melanggar besi tengah pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh    kenderaan dinaiki Balakrishnan, katanya.

Beliau berkata kenderaan mangsa kemudian sekali lagi dilanggar oleh kenderaan lain (Proton Wira) yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru yang gagal mengelak kejadian.

"Akibat kejadian, empat penumpang (termasuk pemandu) kereta Toyota Vellfire itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Tok.

Sementara itu, pemandu lori dan Proton Wira itu dilaporkan selamat manakala kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- BERNAMA

Tiada ulasan: