Khamis, 28 Mac 2019

Program 1 masjid 1 polis jamin keselamatan jemaah

Bernama  

   

Semua masjid di Selangor yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bakal mempunyai pegawai perhubungan masjid yang terdiri daripada anggota polis bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di rumah ibadat berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata pegawai yang ditempatkan melalui program '1 Masjid 1 Polis' itu akan berperanan untuk bekerjasama dengan Anggota Jawatankuasa Masjid bagi menangani masalah jenayah yang kerap berlaku di kawasan masjid antaranya seperti kecurian tabung masjid, curi kereta dan kehilangan beg jemaah masjid.

"Kawasan masjid kini dilihat menjadi tumpuan untuk orang melakukan jenayah, tahun lepas 89 kes jenayah dilaporkan berlaku di kawasan masjid dan bagi tempoh Januari sehingga semalam, 17 kes dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Turut hadir Pengarah Jais, Haris Kasim.

Tambah Noor Azam, pihaknya sedang meneliti sama ada program yang sama akan diperluas ke rumah-rumah ibadat agama lain di seluruh Selangor sekiranya terdapat permintaan untuk pihaknya berbuat demikian.

Tambah Noor Azam buat masa ini program berkenaan hanya melibatkan masjid di seluruh negeri ini bagaimanapun pihaknya tetap akan melakukan rondaan berkala di semua surau-surau dan rumah ibadat agama lain.

Sementara itu Haris berkata program berkenaan merupakan satu kerjasama strategik yang cukup baik dan pihak masjid akan memberi kerjasama sepenuhnya.

"Isu keselamatan merupakan perkara yang amat dititikberatkan, melalui program ini, kami mahu beritahu masyarakat bahawa aspek keselamatan tidak terabai di masjid dan pengunjung boleh beribadah dengan selesa dan selamat," katanya.-Bernama


Tiada ulasan: