Ahad, 17 Mac 2019

AG perlu jelaskan tertuduh kes bunuh Jong Nam - Badan Peguam

MALAYSIAKINI



   
Presiden Badan Peguam yang baru, Abdul Fareed Abdul Gafoor mahu Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan layanan berbeza terhadap dua wanita yang didakwa membunuh Kom Jong Nam.

Ini selepas tertuduh Siti Aisyah, warga Indonesia dilepaskan, manakala Doan Thi Huong masih berhadapan perbicaraan.

"Badan Peguam pasti akan mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada peguam negara.

"Sudah tentu beliau tidak wajib berbuat demikian, tetapi dengan mengambil kira kes berkenaan dan tarikan perhatian antarabangsa, maka akan menjadi lebih baik sekiranya peguam negara boleh menjelaskan mengenai keputusan ini.

"Saya yakin keluarga si mati juga berminat untuk mengetahui mengapa seseorang tertuduh itu dilepaskan, dan juga keluarga Doan ingin tahu mengapa dia masih di dalam kandang pesalah untuk menjawab pertuduhan," kata Fareed, petik Malay Mail.

Walau bagaimanapun, beliau berkata peguam negara mempunyai budi bicara mendakwa seseorang itu atau tidak.

Siti Aisyah didakwa secara bersama dengan Doan dan empat orang lain atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un.

Kejadian berlaku pada 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Mahkamah Tinggi telah mengarahkan kedua-dua tertuduh membela diri pada Ogos lepas.

Menurut Thomas, pertuduhan terhadap Siti Aisyah digugurkan atas permintaan daripada pemerintah Indonesia.

Walau bagaimanapun, percubaan yang sama untuk menggugurkan pendakwaan terhadap Doan tidak berjaya.

MP Bukit Gelugor dan peguam Ramkarpal Singh, berpendapat memandangkan Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama, mereka perlu diperlakukan sama secara undang-undangnya.


Tiada ulasan: