Jumaat, 29 Mac 2019

Ambulans terbabas: Dua anggota APM maut

Bernama
Ambulans terbabas: Dua anggota APM maut
Pengarah APM Johor, Kolonel Mat Zin Bujang berkata kejadian berlaku pada 3.40 petang ketika semua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada bertugas.
 

JOHOR BAHRU: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut manakala dua lagi cedera ringan selepas ambulans yang dinaiki mereka terbabas dalam hujan lebat di Kluang, dekat sini, pada Khamis.

Seorang daripada mangsa merupakan pemandu ambulans, Mohammad Ashri Othman, 50 sementara seorang lagi ialah penumpang belakang Siti Murni Amat Khalid, 33.

Pengarah APM Johor, Kolonel Mat Zin Bujang berkata kejadian berlaku pada 3.40 petang ketika semua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada bertugas.

"Mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat manakala mangsa cedera dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail yang mengesahkan kemalangan berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di muka, leher dan badan.

"Kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Felda Kahang Timur ketika kenderaan mereka (mangsa) menuju ke Kampung Gajah, Kluang namun telah hilang kawalan dan terbabas serta melanggar tiang papan tanda di bahu sebelah kanan jalan.

"Akibat itu, kenderaan kemudiannya terbalik dan berpusing," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Bernama

Tiada ulasan: