Khamis, 28 Mac 2019

Anwar: Beri PM masa tangani isu pengerusi PAC

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu diberi masa dalam membuat keputusan berhubung isu pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Kita faham isu itu tapi perlu berikan masa kerana perdana menteri masih di Langkawi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat hari ini.

"Saya rasa mungkin diri saya (sesuai)...Saya tak tahu, itu saya serahkan kepada PAC," katanya berseloroh, ketika ditanya siapakah yang sesuai menggantikan Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Anwar juga sekali lagi menegaskan jawatan itu sepatutnya disandang oleh anggota parlimen pembangkang, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH).

Selepas Kiandee menyertai Bersatu, pembangkang mencadangkan Anggota Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dilantik sebagai pengerusi baru PAC.

Mahathir bagaimanapun berkata Kiandee akan kekal sebagai pengerusi PAC, yang mencetuskan bantahan beberapa pihak termasuk anggota jawatankuasa di kalangan pembangkang yang meletakkan jawatan mereka.

Selain Anwar dan Nurul Izzah, beberapa pemimpin PH lain seperti Hannah Yeoh dan Sim Tze Tzin turut menggesa PH berpegang kepada janji manifestonya.

Pada 24 Mac lalu, Mahathir berkata beliau akan menimbang untuk melantik pengerusi baru tetapi "pada masa ini beliau (Kiandee) kekal sebagai pengerusi PAC".

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau berharap agar Akta Perkhidmatan Parlimen yang dibincangkan dalam mesyuarat kaukus hari ini dapat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang akan datang.

"Kita akan bertemu dengan speaker esok untuk membincangkan langkah seterusnya," katanya lagi.

Tiada ulasan: