Jelas beliau, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee buat masa ini bertentangan dengan janji manifesto kerana Ronald telah menyertai parti komponen PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kalau diteruskan bermakna Pengerusi dari PH, Timbalan Pengerusi PAC juga dari PH. Maknanya, gabungan itu ada kuasa sepenuhnya dalam PAC sedangkan tujuan melantik ahli Parlimen pembangkang supaya PAC boleh menjadi semak dan imbang berkesan untuk kerajaan.

“Kita nampak ini satu penyelewengan daripada segi janji, walaupun kita tahu janji lain tidak ditepati tetapi transformasi Parlimen ini diharapkan dapat dilaksana.

“Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi kepada pembangkang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ismail berkata, berdasarkan keputusan dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pihaknya telah mencadangkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini untuk menjadi pengerusi.

Jelas beliau, surat daripada BN telah dikeluarkan pada 1 Mac lalu dan telah memaklumkan kepada Speaker namun tiada tindakan diambil sehingga Mahathir mengeluarkan kenyataan mengekalkan Ronald.