Sabtu, 30 Mac 2019

PH sudah main kotor di Rantau

ainulillia

Beri kupon percuma makanan kepada murid sekolah nak pikat pengundi



BANGI –  Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoal tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, menyatakan rasa hairan dengan tindakan itu kerana Dr Michael bukan merupakan calon Pakatan Harapan (PH) untuk PRK kawasan itu, sebaliknya Dr Streram Sinnasamy. 

“Calon PH untuk PRK Rantau ialah S Streram dari PKR. Esok hari penamaan calon. Semalam, Ahli Parlimen PKR Miri, Sarawak tiba-tiba memberi RM75,000 kepada 5 sekolah di Rantau, Negeri Sembilan.

“Setahu saya, Miri bukan terletak sebelah Rantau tetapi dia tetap bagi. Dia kata pemberian ini adalah di atas permintaan Penyelaras DUN Rantau, S Streram yang juga calon PRK,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib yang juga bekas presiden UMNO berkata, PH sepertinya sudah tidak mempedulikan serta menghiraukan kesalahan yang dibuat wakil parti.

“Orang nak kata mereka main kotor pun katalah. Nak kata PH tak bersih, tak apalah. Dipersilakan. Rakyat nak tuduh mereka beli undi pun silalah tuduh.

“Mereka sudah angkuh. Walaupun mereka telah terang-terang melanggar undang-undang berulang kali di beberapa PRK yang lalu, PH tahu kerajaan tidak akan ambil sebarang tindakan. Mengapa PH perlu peduli?,” soalnya.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Keadilan DUN Rantau, hari ini, kupon itu diberikan kepada 300 orang murid dengan setiap mereka menerima sumbangan antara RM50 hingga RM150.

Lima buah sekolah yang dipilih untuk program ini ialah SJKC Sin Min Kuala Sawah, SJKT Ladang Kombok, SK Felda Sendayan, SK Siliau dan SJKT Rantau. 

Katanya, Dr Michael sebelum ini turut pernah menjalankan program yang sama di sekolah sekitar Miri dan mendapat sambutan yang baik maka beliau memutuskan untuk meneruskan program kupon makanan percuma di DUN Rantau atas permintaan Dr Streram Sinnasamy

Tiada ulasan: