Jumaat, 29 Mac 2019

Pengarah syarikat lapor SPRM dakwa 'dianiaya' Jabatan Kastam


   

Seorang pengarah syarikat perkhidmatan pengangkutan lori tampil membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa dirinya "dianiaya" oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


R Siva Subramaniyam, 31, bersama rakan pengarah syarikatnya membuat laporan SPRM mendakwa Jabatan Kastam "menganiaya" pekerjanya yang merupakan lori serta syarikatnya bagi "menyelamatkan" individu lain.

"Saya membuat laporan SPRM hari ini selepas tidak puas hati dengan Jabatan Kastam yang mengendalikan kes kami. Bagi, saya Jabatan Kastam cuba menganiaya saya dan pemandu bagi 'menyelamatkan' beberapa individu yang terlibat dalam kes ini," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, pada 12 Disember tahun lalu, rakannya menerima panggilan daripada sebuah syarikat yang memerlukan perkhidmatan lori dari Pelabuhan Klang ke lokasi di Balakong.

Selepas setuju dengan pembayaran, pihaknya menghantar lori ke tempat yang dinyatakan oleh syarikat tersebut iaitu sebuah gudang di dalam Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, menurut Siva, ketika lori berkenaan rosak dan berhenti di tepi jalan Lebuhraya Kesas, dua pegawai kastam menghampirinya dan memeriksa lorinya sebelum dimaklumkan bahawa muatan lori itu adalah minuman keras (bir) yang tidak dibayar cukai.

"Seorang individu yang berada di sana (Pelabuhan Klang) ketika itu memberitahu pemandu syarikat bahawa mereka tidak akan mendedahkan kandungan barang.

"Maka, pemandu saya pun setuju (membawa muatan) sebab ia adalah satu kebiasaan dalam perkhidmatan lori kerana kebiasaannya pemilik barang takut barangnya akan dicuri sekiranya pemandu tahu apa kandungannya.

"Di pintu Pelabuhan Klang. pemandu syarikat kami menerima IID (Integrated import document) iaitu dokumen yang mengandungi segala informasi tentang barang yang dibawa keluar dari pelabuhan," katanya.

Dakwa diminta beri keterangan palsu
 
Ketika diperiksa pegawai kastam di pinggir jalan, jelas Siva, rakannya tiba untuk memeriksa IID dan mendapati dokumen itu menyatakan terdapat 24 palet bir.

Setelah itu, jelas Siva, pegawai kastam tersebut memaklumkan bahawa mereka perlu membawa rakannya serta pemandu dan lori syarikatnya untuk siasatan lanjut di pejabat kastam Pulau Indah (West Port).

Namun, dalam perjalanan menaiki kereta pegawai kastam, Siva mendakwa pemandu lori berkenaan didesak untuk membuat keterangan palsu dan menafikan muatan bir itu diambil dari Pelabuhan Klang.

"Ketika rakan saya dan pemandu saya berada dalam kereta kastam, salah seorang wakil dari syarikat yang memberi kami tugasan membawa muatan menelefon pemandu lori dan mendesak agar beri keterangan palsu dengan mengatakan bahawa minuman keras yang berada di dalam lori diambil dari kawasan luar Pelabuhan Klang.

"Lebih pelik, perbualan tersebut turut didengari oleh dua pegawai kastam yang menasihati pemandu lori syarikat saya supaya mengikuti arahan tersebut, iaitu membuat keterangan palsu," kata Siva.

Siva menambah, ketika tiba di pejabat kastam, seorang pegawai kastam yang berada di pejabat itu enggan menghiraukan penjelasan bahawa pihaknya hanya memberi perkhidmatan lori atau menghiraukan dokumen yang dibawa olehnya termasuk resit bayaran daripada syarikat yang menyewa lori mereka.

Selain itu, kata Siva, pegawai kastam juga menunjukkan IID baru yang menyatakan muatan lori berkenaan adalah 'printing plate' (plet pencetak), selain maklumat lain yang menurutnya sudah ditukar.

"Nama 'çonsignee' (penerima) serta nama pemandu lori turut ditukar. Pemandu lori saya seorang warga Sabah, tetapi di IID baru ditunjukkan oleh jabatan kastam nama pemandu lori ditukar kepada seorang India.

"Kami dipaksa oleh pegawai itu untuk menerima IID yang baru, tapi kami menolak menerima IID baru itu.

"Kini kes ini berada di mahkamah. Yang pelik, hanya kami (syarikat lori) didakwa. Syarikat pembekal dan penerima tidak disabit. Kami dah buat lima laporan polis. Masih tiada tindakan.

"Sehingga kini, saya menerima panggilan daripada syarikat pembekal dan penerima untuk mengakui bahawa barang tersebut dimuat di luar Pelabuhan Klang. Pegawai kastam tersebut juga mendesak kami untuk berbuat demikian," katanya.

Siva berkata, setakat ini, lorinya masih ditahan Jabatan Kastam.

"Bagi kami, Jabatan Kastam menganiaya kami bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu. Walaupun, kami menunjukkan segala bukti kepada Jabatan Kastam, mereka masih memaksa kami untuk mengakui di kes ini," kataSiva yang membuat laporan SPRM di PutraJaya semalam.

Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Kastam untuk mendapatkan ulasan berkenaan isu ini.


Tiada ulasan: