Ahad, 17 Mac 2019

PKR serah parlimen tentu pengerusi PAC- SU agung

MALAYSIAKINI

   

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Parlimen bagi menentukan kedudukan Anggota Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana pelantikan bagi jawatan itu tertakluk di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Parlimen.

"Saya pulangkan kepada Parlimen sebab pelantikan PAC itu di bawah bidang kuasa Parlimen. Pendirian PKR, setakat atau pada saat Ronald dilantik, Pakatan Harapan (PH) telah memenuhi janji itu.

"Selain itu, setakat ini belum ada perbincangan lanjut dibuat mengenainya di peringkat parti kerana tumpuan kita kini terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PKR) Rantau," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Perak di Ipoh, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Ronald kekal selaku Pengerusi PAC biarpun beliau telah keluar dari UMNO Sabah dan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Keputusan itu bagaimanapun dikritik oleh segelintir pihak termasuk UMNO yang menggesa agar jawatan itu dikembalikan kepada wakil Pembangkang seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, PKR telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK Rantau dan akan membuat pengumuman calonnya pada satu majlis esok.
 
Katanya pengumuman itu dibuat lebih awal bagi membolehkan gerak kerja jentera parti di semua peringkat dirangka secara tersusun dan baik.

Mengulas peluang PH dalam PRK tersebut Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menjelaskan beliau optimis kemenangan mampu digapai meskipun sedar kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).- Bernama


Tiada ulasan: