Rabu, 27 Mac 2019

PAC belum terima surat letak jawatan MP BN, PAS


   

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh memaklumkan pihaknya masih belum menerima surat peletakan jawatan daripada anggota parlimen BN dan PAS.

"Sehingga semalam, kita (PAC) belum terima surat letak jawatan dari tiga anggota (pembangkang).

"Walau tiga anggota letak jawatan, PAC masih ada sembilan orang. Ini sudah mencapai korum, kita boleh meneruskan mesyuarat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tiga anggota parlimen yang dimaksudkan itu adalah Noraini Ahmad (Parit Sulong), Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Ahmad Hamzah (Jasin).

Pada 25 Mac lalu, anggota parlimen BN dan PAS dalam PAC berkata mereka akan berbuat demikian sebagai membantah keputusan kerajaan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusinya susulan penyertaannya dalam Bersatu.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, peletakan jawatan itu sehinggalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menimbang semula keputusan itu dan memilih pengerusi baru di kalangan pembangkang.

Manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH) menyatakan pengerusi PAC akan dipilih di kalangan pembangkang.

Sementara itu, Wong berkata PAC akan tetap meneruskan siasatannya bagi beberapa kes dalam masa dua minggu ini.

"Dalam masa dua minggu yang akan datang, jadual prosiding kita telah penuh dengan kes yang berbeza.

"Saya telah berbincang dengan Pengerusi PAC Ronald Kiandee (dan) kita akan meneruskan siasatan yang belum habis," katanya yang juga anggota parlimen Ipoh Timur.

Antara kes yang sedang disiasat jawatankuasa itu adalah berhubung tabung bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang mengalami kekurangan RM19.2 bilion, yang akan diadakan 8 April ini.

Wong berkata laporan penuh mengenai kes itu akan dibentangkan di Parlimen sebelum sidang berakhir pada 11 April.


Tiada ulasan: