Ahad, 17 Mac 2019

Laporan: Penggunaan ganja untuk perubatan harus, kata mufti

MALAYSIAKINI




  •    
    Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor dilaporkan berkata penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.

    Menurut laporan Berita Harian hari ini, Wan Salim bagaimanapun berkata kajian terperinci perlu dilakukan oleh mereka yang pakar bagi membuktikan keberkesanannya, selain tiada pilihan lain yang lebih baik.

    “Jika kanabis dilihat memudaratkan penggunaannya jatuh kepada haram. Penggunaannya juga dilarang bagi tujuan keseronokan atau khayal.

    “Kebenaran penggunaan mengikut kuantiti ditetapkan perlu diperjelaskan selain kawalan ketat," katanya seperti dipetik.

    Dalam laporan Berita Harian semalam, Penyelidik Neurosains Universiti Putra Malaysia (UPM) ganja antara lain mampu merangsang pembentukan saraf otak yang sudah mati.

    Ketua penyelidiknya Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas yakin ia boleh digunakan dalam merawat penyakit berkaitan sel saraf otak seperti nyanyuk.

    Menerusi kajian terhadap empat kumpulan tikus makmal tahun lalu, Mohamad Aris berkata ganja dalam dos rendah baik untuk kesihatan tetapi memberi mudarat jika diambil melebihi 2mg/kg.

    Terdahulu, Dekan Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman membuat perbandingan dengan berkata sekarton rokok lebih berisiko memudaratkan kesihatan berbanding 200 gram ganja.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dalam laporan sama berkata, penggunaan ganja dalam perubatan perlu disahkan pakar dalam bidang itu.

    “Sesuatu yang haram itu, menjadi harus apabila ia tidak ada pilihan lain untuk mengubati penyakit dan memberi harapan untuk manusia untuk terus hidup.

    “Ia dibenarkan Islam selagi tidak ada yang lebih baik dan diperakui halalnya,” katanya seperti dipetik.

    Antara ahli politik yang membangkitkan isu ganja perubatan adalah Naib Presiden Amanah Husam Musa yang berkata sedia untuk membentangkan maklumat dan teknologi ganja kesihatan kepada pihak yang berminat untuk membuat kajian.


    Tiada ulasan: