Ketua
Sekretariat Gerakan Pembela UMMAH, Aminuddin Yahya bercakap pada sidang
media mengenai pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di Ibu
Pejabat Muafakat, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek didakwa cuba
mencari jalan keluar untuk melepaskan diri ekoran kenyataannya yang
‘berbeza-beza’ mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya berkata,
dalam tempoh dua hari sahaja, Maszlee telah mengeluarkan kenyataan yang
berlainan berhubung perkara itu.
Malah katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen
Simpang Renggam itu dianggap sebagai separa matang dan caca marba.
“Ini menampakkan menteri sendiri tidak stabil dalam keputusannya,
mungkin disebabkan desakan rakyat. Jadi, kita tidak ambil ia sebagai
satu kenyataan yang selesa,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Aminuddin Yahya
Semalam, Maszlee dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pengiktirafan
Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) masih dalam peringkat kajian.
Menerusi kenyataan media itu, beliau memberi jaminan akan mengambil
kira secara holistik terutama dalam menjaga kepentingan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Sekretariat Ummah, Kamaruzaman Mohamad
berkata, tindakan Maszlee itu juga jelas menunjukkan beliau kini berada
dalam keadaan kecelaruan dalam membuat kenyataan.
“Sekali umum diiktiraf, sekali umum akan dikaji, sekali umum ada dalam manifesto.
“Bagaimana keputusan yang sebegini penting hanya diputuskan dengan
berfikir secara rambang. Ia perlu dibuat secara terperinci. Hari ini
saya lihat kerajaan hendak membuat keputusan secara sambil lalu sahaja.
“Saya harap kerajaan perlu meneliti secara halus sebelum membuat dan
mengeluarkan kenyataan secara umum untuk mengelak keresahan rakyat,”
ujarnya. Kamaruzaman Mohamad
Bagi tujuan itu jelas beliau, satu siri jelajah ke seluruh negara
sebagai bantahan terhadap kerajaan berhubung perkara itu akan diadakan
bermula pada 28 Julai ini.
Manakala, himpunan kemuncak pula turut akan dibuat dan tarikh mengenainya akan diberitahu kelak. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan