PIALA DUNIA 2018 | Cinta kadang-kadang harus dibayar dengan air mata luka. Itulah gambaran yang terpaksa diakui penyokong bola sepak Rusia apabila pasukan mereka gagal mencipta magis di tanah air sendiri.
Sebagai pasukan tuan rumah, pastinya besar harapan penyokong untuk melihat Piala Dunia 2018 dijulang mereka.
Namun, perjuangan anak buah Stanislav Cherchesov berakhir selepas tewas 3-4 kepada Croatia dalam penentuan penalti, pagi ini.
Aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Fisht Olympic, Sochi, pada awalnya mengikat kedudukan 2-2 dalam aksi 120 minit.
Ia memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti dan ternyata Croatia lebih layak mara ke peringkat separuh akhir.
Berbanding pasukan tuan rumah, Luka Modric dan rakan-rakan menyerlah seawal sepak mula untuk menguasai permainan.
Namun, serangan demi serangan yang dilakukan mereka berjaya dinafikan benteng pertahan lawan.
Malah, Croatia terlebih dahulu dihukum apabila serangan balas pantas Rusia terhasil gol pertama oleh Denis Cheryshev pada minit ke-31.
Bagaimanapun, anak didik Zlatko Dalic bangkit menyamakan kedudukan lapan minit kemudian melalui sentuhan Andrej Kramaric.
Aksi dramatik
Kedudukan 1-1 itu membawa ke separuh masa kedua, namun kedudukan masih kekal selepas tamat tempoh 90 minit memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Rentak perlawanan menjadi semakin rancak dan dramatik menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Dan giliran Croatia pula mematikan sorakan penyokong lawan apabila mencipta gol kedua pada minit ke-101 melalui Domagoj Vida.
Ketinggalan 1-2 dilihat tetap menyuntik semangat pemain Rusia dan mereka lebih menguasai serangan menjelang penghujung permainan.
Perjuangan Igor Akinfee dan rakan-rakan berhasil menunda kejayaan lebih awal Croatia selepas mencipta gol penyamaan.
Jaringan Mario Fernandes lima minit sebelum wisel penamat ditiup itu mengheret perlawanan ke saingan penalti.
Namun, Rusia bermula dengan langkah kiri apabila sepakan pertama dilakukan Fedor Smolov berjaya diselamatkan penjaga gol Croatia.
Kegagalan sama dipamerkan Fernandes sekali gus menghasilkan tuah yang berpihak kepada Croatia.
Keputusan itu menyaksikan Croatia bakal berdepan England di pusingan separuh akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan