Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan kecewa dengan keputusan yang dibuat bekas bosnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertindak keluar UMNO.
Dalam kenyataan balas berhubung tindakan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, Zahida memberi jaminan kepada parti untuk terus melaksanakan perubahan dalam menangani penghijrahan dalam kalangan ahli yang sedia ada agar rapatkan saf dan terus yakin pada wadah perjuangan ini.
“Saya amat terkejut dan kesal dengan keputusan yang dibuat beliau. Sebagai seorang yang pernah menjadi ‘bos’ dalam puteri UMNO, kami mengharapkan beliau terus bersama-sama dalam saf perjuangan.
“Amat tidak wajar jika keputusan pemilihan UMNO semalam, menjadi antara faktor penyebab beliau meninggalkan parti kerana sebagai pemimpin yang mendokong amalan demokrasi, kita sepatutnya akur, terima keputusan perwakilan dengan berlapang dada,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas tindakan bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu keluar UMNO kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan perwakilan mengekalkan kepimpinan lama untuk memulihkan parti selepas kalah teruk pada PRU14 baru-baru ini.
Menurut Zahida Zarik, dalam perjuangan, setiap individu mempunyai prinsip dan ideologinya sendiri dan beliau berlapang dada dalam soal itu.
“Saya mendoakan YB Mas Ermieyati Samsudin berjaya melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang dipilih rakyat (atas tiket UMNO/BN) di kawasannya dengan cemerlang.
“Saya sebagai ketua sayap bongsu UMNO ini mengajak semua ahli terus istiqamah, tetapkan pendirian, teruskan perjuangan dan kita bangkit bersama memperkukuh parti dan kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan