Rabu, 18 Julai 2018

M’sia lantik firma guaman Singapura tuntut wang 1MDB

THE MALAYSIAN TIMES
 

PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia telah melantik firma guaman Singapura untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap 53 individu dan syarikat bagi menuntut wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, Peguam Negara Tommy Thomas telah meluluskan pelantikan firma guaman Tan Rajah & Cheah, awal minggu ini.

Menurut sumber itu, kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Singapura terhadap 53 defendan bagi mendapatkan perintah untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.

Sumber itu berkata Thomas telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Singapura Lucien Wong baru-baru ini untuk memudahkan pemulangan wang 1MDB yang telah dibekukan oleh pihak berkuasa Singapura.

Antara 53 defendan itu ialah ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low.​​​​

“Perintah mahkamah adalah perlu untuk mengeluarkan wang itu kepada 1MDB atau Kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.

Malaysia telah melantik peguam cara daripada Singapura untuk memfailkan tindakan kerana peguam Malaysia tidak dibenarkan mewakili di mahkamah Singapura.

Pada 31 Mei, Pasukan Petugas Khas 1MDB, dalam satu kenyataan berkata Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha membawa balik wang dipercayai telah diselewengkan daripada 1MDB.–Bernama

Tiada ulasan: