Isnin, 23 Julai 2018

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Makkah subuh tadi

 
Ketua rombongan haji Malaysia Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata kumpulan jemaah yang tiba berpakaian ihram dibawa menunaikan umrah pada 6 pagi, selepas berehat seketika di bilik masing-masing.
Seramai 478 jemaah haji daripada kumpulan pertama ini selamat tiba di Makkah menaiki 11 bas yang bertolak dari Madinah kira-kira 6 petang waktu tempatan, semalam. (Gambar Bernama)

MAKKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Makkah dari Madinah kira-kira 1 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) dan menerima sambutan meriah daripada petugas Tabung Haji (TH) di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata kumpulan jemaah yang tiba berpakaian ihram itu kemudiannya dibawa menunaikan umrah pada 6 pagi, selepas berehat seketika di bilik masing-masing.

“Alhamdulillah, seramai 478 jemaah haji daripada kumpulan pertama ini selamat tiba di Makkah menaiki 11 bas yang bertolak dari Madinah kira-kira 6 petang waktu tempatan.

“Kebiasaannya, waktu perjalanan dari Madinah ke Makkah mengambil masa 4 hingga 5 jam, namun setelah mengambil kira waktu berhenti rehat di kawasan RnR (rehat dan rawat) untuk makan dan bersolat, masa perjalanan boleh menjangkau hingga 7 jam,” katanya yang ditemui semasa majlis sambutan jemaah haji KT01 di Maktab 74 di sini, hari ini.

Bagi perjalanan kumpulan pertama itu, beliau berkata jemaah mengambil masa kira-kira 1 jam setengah untuk berhenti makan dan solat maghrib serta isyak di RnR yang ditetapkan pihak TH.

“Kita telah arahkan petugas terlibat untuk memeriksa setiap RnR di sepanjang lebuh raya dari Madinah ke Makkah dan memilih RnR terbaik dari segi kemudahan tempat makan serta kebersihan tandas,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata terdapat seorang jemaah haji dibawa lebih awal ke Makkah berikutan masalah kesihatan, bagaimanapun jemaah tersebut terus dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Setakat hari ini, beliau berkata sebanyak 20 penerbangan catar haji Malaysia selamat mendarat di Arab Saudi, membawa hampir 10,000 jemaah haji dari tanah air.

Kumpulan jemaah haji Malaysia terakhir dijadualkan tiba di Jeddah pada 15 Ogos.

Tiada ulasan: