Ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh berharap Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dapat membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penyertaan skuad Tok Gajah dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Pengendali berusia 54 tahun itu mengakui pemainnya mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan saingan kepada pasukan lain dalam kempen Piala AFC.
"Terpulang kepada Presiden PBNP (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah) sama ada ingin membuat rayuan kepada FAM dan saya serahkan perkara ini kepada pihak pengurusan,” katanya pada sidang media selepas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pahang layak beraksi ke saingan Piala AFC selepas muncul juara Piala FA menerusi kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Untuk rekod, FAM melarang Pahang daripada menyertai saingan Piala AFC hingga 2020 susulan keengganan pasukan itu untuk mewakili negara dalam Piala AFC, musim ini.
Dalam pada itu, Dollah memuji pemain skuad Tok Gajah yang memberi aksi terbaik pada final Piala FA walaupun Stadium Nasional tidak dipenuhi penonton susulan demam Piala Dunia yang sedang melanda rakyat Malaysia, ketika ini.
Berkongsi pendapat sama, Kapten Pasukan Pahang Matthew Davis yang begitu gembira dengan kemenangan malam tadi berkata pasukan Selangor memberikan saingan hebat dalam perlawanan itu.
"Ia sangat melegakan bagi saya pada percubaan ketiga selepas tewas dengan Kedah 2-3 dalam final Piala FA tahun lepas selain memenangi pingat perak ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017," kata pemain pertahanan kelahiran Australia itu.
Sementara itu, pengendali Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mengakui kegugupan dan kekurangan pengalaman pemain muda Gergasi Merah yang beraksi buat julung kalinya pada aksi final, selain keampuhan benteng pertahanan Pahang adalah antara punca mereka tewas dalam perlawanan tersebut.
Beliau berkata fokus Selangor kini adalah berada dalam kelompok lima pasukan terbaik untuk saingan LigaSuper selain memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia yang dijangka bermula Ogos ini.
Nada sama turut disuarakan kapten Selangor, Mohd Razman Roslan yang sedikit kecewa keranagagal menghadiahkan trofi sulung kepada Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Memang sedikit kecewa tidak dapat bawa pulang Piala Malaysia kali ini, namun saya lihat masih panjanglagi perjalanan beberapa pemain muda dalam pasukan ini dan menjangka pasukan Selangor bakalmempunyai 'championship material' dalam dua atau tiga tahun akan datang," kata anak jati Kajang itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan