Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Berang dengan syarat-syarat yang dikenakan PAS Kelantan, PKR
hari ini menyindir kerajaan negeri itu 'menyimpan' semua jawatan yang
diperuntukkan kepada ahli-ahli PKR di sana.
Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar kemudiannya merujuk pentadbiran
Selangor yang diterajui PKR tidak meletakkan sebarang syarat terhadap
lantikan politik PAS dalam kerajaan negeri itu.
"Jika begitu, tidak payah ambil jawatan, itu pendirian saya. PAS boleh
simpan jawatan dalam pilihan raya akan datang kita lihat macam mana
keadaan.
"Sebab mereka meletakkan syarat-syarat. Di Selangor pun kita tak cakap
apa-apa dengan PAS, mereka ada di dalam kerajaan, ada jawatan, tak suruh
mereka sokong dan sebagainya.
"Kelantan, jika hendak buat sedemikian, simpan sahajalah (jawatan).
Nanti pilihan raya kita lawan mereka," ujarnya ketika dihubungi
Antarapos, hari ini.
Kenyataan Xavier itu merujuk kepada respon exco Kelantan, Datuk Che
Abdullah Mat Nawi yang membayangkan senarai nama pemimpin PKR sudah
dipilih untuk dilantik dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Che Abdullah, bagaimanapun mengingatkan ahli-ahli PKR tidak layak
menyandang jawatan pentadbiran kerajaan negeri sekiranya mereka bersama
dengan Amanah dan berusaha menjatuhkan PAS Kelantan.
Ini tegasnya bagi memastikan mereka yang dilantik itu membantu dan
mempertahankan kerajaan yang dipimpin parti berteraskan Islam itu.
Sebelum ini Antarapos juga melaporkan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
(MPN) PKR Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir sebagai berkata kerajaan
negeri masih belum meminta nama pimpinan PKR untuk lantikan politik
dalam pentadbiran tahun hadapan.
Ujar Abdul Aziz kebiasaan kerajaan negeri akan meminta cadangan nama daripada parti selewat-lewatnya bulan November.
Hujung Ogos lalu, Mesyuarat Biro Politik Pusat PKR memutuskan lantikan
politik parti itu di Kelantan dikekalkan selepas dihimpit kemelut sejak
Mei susulan PAS memutuskan kerjasama dengan parti itu pada muktamar.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan alasan keperluan kerjasama parti
itu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang dinyatakan
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan