Sabtu, 30 Disember 2017

PPBM akui bimbang hubungan rengang Dr Mahathir dan istana Johor

Tetapi banyak perkara yang perlu dilakukan Pakatan Harapan untuk mendapatkan keyakinan istana yang dilihat berpengaruh di kalangan rakyat Johor.


sultan-johor-mahathir-mohamad

PETALING JAYA: Pengaruh istana dalam kalangan rakyat Johor merupakan sesuatu yang perlu ditangani pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, di sebalik hubungan suram antara pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerabat raja Johor.

“Johor adalah tempat kelahiran Umno, dan sentimen Umno sangat kuat,” kata Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail, yang juga berasal daripada keluarga politik yang berpengaruh di Johor.

Tariq adalah cucu Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri seketika sehingga kematiannya pada 1973, dan meninggalkan kesan besar dalam politik negara pada masa itu.

Bercakap kepada FMT, Tariq berkata beliau sedar tentang hubungan kurang baik antara istana dan bekas perdana menteri itu.

Beliau turut akui terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan keyakinan istana.

“Baginda (Sultan Ibrahim) mungkin bimbang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir, tetapi inilah di mana kita perlu bina jambatan.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah memberikan jaminan kepada semua kerabat bahawa kuasa sultan kekal di negeri masing-masing dan pendapat mereka mengenai mana-mana undang-undang yang diluluskan tidak akan diabaikan,” katanya.

Tariq yakin perubahan akan berlaku pada PRU akan datang.

Beliau berkata isu yang melanda Felda, dakwaan ke atas Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin serta aduan mengenai kos sara hidup terus menjadi keutamaan pembangkang.

“Kami mempunyai banyak isu untuk dibangkitkan kepada rakyat,” katanya lagi.

PPBM yang dipengerusikan Dr Mahathir dilihat antara barisan depan dalam kempen PH untuk menamatkan 6 dekad pemerintahan Umno di Johor.

Menyedari pengaruh besar istana dan kelantangan kerabat diraja negeri itu, PPBM baru-baru ini memutuskan untuk mendekati Sultan Johor menerusi beberapa siri dialog.

Sejarah hubungan Dr Mahathir dan istana Johor membawa balik ke tahun 1993, ketika beliau melancarkan kempen besar-besaran menghapuskan imuniti raja-raja Melayu di bawah undang-undang.

Ia berikutan kontroversi membabitkan seorang jurulatih hoki, Douglas Gomez yang dikasari Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah antara sultan yang secara terbuka mengkritik Dr Mahathir, selain Sultan Selangor.

Sultan Ibrahim tidak senang dengan tentangan Dr Mahathir terhadap projek Forest City berhampiran Johor Bahru, selain isu “lanun Bugis”.

Seorang lagi pemimpin PH kelahiran Johor, Salahuddin Ayub tidak melihat “permusuhan” antara pihak istana dan Dr Mahathir sebagai isu.

Timbalan presiden Amanah itu yang mengetuai jentera pilihan raya PH di Johor, berkata tumpuan perlu diberikan mengenai isu yang mempengaruhi rakyat di negeri itu, seperti perumahan, pendidikan dan aliran keluar tenaga kerja ke Singapura.

“Apa jua ketegangan antara Dr Mahathir dan sultan, biarkan ia kekal di antara mereka,” katanya.

“Tetapi saya yakin konsep sistem beraja seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan akan dilindungi dan begitu juga hak demokrasi setiap warga negara untuk mengundi siapa yang mereka pilih.”

Tiada ulasan: