SERIAN: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memasang jerat haiwan liar
di hutan berdekatan Kampung Mang Besi, Ensenggai, di sini sejak Jumaat
lalu ditemui mati, hari ini.
Mayat mangsa, Bahet Ten, 55, ditemui pasukan mencari dan menyelamat
(SAR) di tebing Sungai Reban pada jam 12.53 tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Sarawak, berkata mangsa dipercayai terjatuh ke sungai itu selepas
tergelincir ketika melalui titi buluh untuk menyeberangi sungai.
"Bagaimanapun, punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas hasil bedah siasat diperolehi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy
Anis ketika mengesahkan kes itu berkata, mayat mangsa ditemui dalam
keadaan terlungkup di tebing sungai berkenaan.
"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serian untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya," katanya.
Aswandy berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat anaknya, Adeline, pada jam 9.51 malam, Jumaat lalu.
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, SAR dilancarkan dengan
diketuai Ketua Polis Balai Serian, Sarjan Masniah Matlan dan disertai
anggota bomba, RELA dan penduduk kampung.
"Mayat mangsa disahkan oleh abangnya yang bernama Bujang yang turut serta dalam operasi itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan