Sabtu, 23 Disember 2017

Amanah bidas kerajaan cukai jemaah RM25 juta demi atasi penipuan RM5 juta

AKHBAR RAKYAT




SHAH ALAM: Amanah hari ini membidas tindakan kerajaan melaksanakan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) untuk menangani penipuan pakej umrah, tetapi menyebabkan jemaah umrah terpaksa menanggung kos tambahan RM90.10 seorang.

Khalid Samad berkata, demi mengelakkan rakyat ditipu kira-kira RM5 juta setahun, kerajaan sebaliknya mengutip RM25 juta daripada rakyat setahun.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, berdasarkan rekod yang diperolehi dari 2012 hingga 2017, jumlah kerugian bagi kes penipuan umrah sebanyak RM23 juta.

“Maknanya dalam 5 tahun, RM23 juta yang mereka rugi yang mana sebahagian daripadanya pun dapat dituntut semula selepas dibuat tindakan undang-undang. Tapi kalau kita tak kira penipuan itu, kerugiannya RM23 juta dalam tempoh 5 tahun, maknanya setahun lebih kurang RM4.5 juta.

“Nak atasi kerugian ataupun kehilangan sebanyak RM4.5 juta itu mereka nak kenakan bayaran RM90.10 setiap jemaah umrah yang setahun berjumlah 290,000 orang, maka 290,000 darab RM90.10 itu lebih kurang RM25 juta,” katanya pada sidang media di pejabat ahli Parlimen Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau tidak dapat menerima alasan itu.

“Nak atasi kerugian RM5 juta dikenakan caj RM25 juta, ini kira-kira yang bodoh. Kamu rugi dalam RM5 juta, kamu belanja RM25 juta untuk atasi rugi RM5 juta.

“Ini juga menunjukkan ia satu alasan yang niat sebenarnya adalah untuk memberikan satu syarikat kelebihan yang jadi macam pengutip tol saja.”

IMAMS merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi, dengan tujuan membanteras penipuan pakej umrah.


Pelaksanaannya dibatalkan Sabtu lalu tidak sampai 24 jam selepas ia mula dilaksanakan selepas pemain industri, pembangkang dan parti pemerintah sendiri membantah pelaksanaannya.

Melalui sistem itu, jemaah akan dikenakan tambahan RM90.10 yang meliputi cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM5.10, insurans RM40 dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS.

Turut menjadi perhatian ialah sistem berkenaan dikendali syarikat yang mempunyai ahli lembaga pengarah bukan Islam.

Mengulas lanjut, Khalid menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan pembatalan IMAMS bagi mengelakkan kerajaan didakwa “gila cukai”.

Katanya, rakyat bosan dengan tindakan kerajaan yang “menggila” kerana sering membebankan rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai.

“Masalah penipuan itu kerajaan kena cari jalan lain tanpa kenakan caj tambahan. Kita tak nak nanti orang kata ini kerajaan cukai, gila cukai. Kerajaan Najib jadi kerajaan gila cukai.

“Asyik cari jalan nak cukai rakyat saja, buat umrah pun nak kena cukai dan kita minta kenyataan yang jelas tidak ada lagi tangguhlah, pindalah, kita tak nak. Bebaskan rakyat dari tekanan seperti ini.”

Tiada ulasan: