Ahad, 24 Disember 2017

Pemuda DAP: Jurulatih terjun Yang Zhuliang jadi kambing hitam?

Ketua Pemuda DAP berkata, dakwaan jurulatih terjun menggalakkan budaya ketakutan mungkin digunakan untuk menyembunyi alasan sebenar kontraknya tidak dilanjutkan.


Wong-Kah-Woh-Khairy-Jamaluddin-Yang-Zhuliang-malaysia

PETALING JAYA: Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh mahu Khairy Jamaluddin menjelaskan percanggahan alasan yang diberikan orang berkuasa untuk tidak melanjutkan kontrak Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih terjun negara.

Beliau berkata, sebelum menteri belia dan sukan itu menjelaskan isu berkenaan semalam, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mendakwa teknik bimbangan Yang ketinggalan zaman dan tidak menggunakan teknologi sains sukan.

Bagaimanapun, Khairy menerusi kenyataan semalam berkata, kontrak jurulatih dari China itu tidak dilanjutkan kontrak kerana wujud “budaya dan persekitaran ketakutan” dalam sebahagian atlet terjun negara di bawah bimbangan Yang.

“Jadi sekarang, kenyataan mana yang betul?” soal Wong yang juga adun Canning di Perak dalam satu surat terbuka kepada Khairy hari ini.

Katanya, Yang sama ada dijadikan kambing hitam untuk dakwaan “budaya dan persekitaran ketakutan” atau alasan itu digunakan untuk mewajarkan penyingkiran Yang oleh ISN dan menutup motif sebenar yang hanya diketahui beberapa orang.

“Sumbangan Zhuliang kepada negara dalam membawa skuad terjun negara ke tahap tinggi adalah sesuatu yang tidak memerlukan penjelasan lanjut.

“Tidak dapat dielakkan sesetengah pihak mungkin mahu mengambil kredit atau publisiti untuk sukan ini.

“Adalah tanggungjawab kami untuk memastikan meritokrasi melebihi semua kepentingan dan keutamaan peribadi.”

Semalam, Khairy mendakwa Yang membenarkan “budaya dan persekitaran ketakutan” merebak sehingga mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan kepada atlet, walaupun jurulatih itu tidak terbabit dengan perkara itu.

Katanya, persekitaran dan suasana latihan skuad terjun negara menjadi lebih rumit selepas seorang jurulatih yang rapat dengan Yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober lalu atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun negara.

Terdahulu, media melaporkan kontrak Yang yang akan tamat 31 Disember ini, tidak diperbaharui ISN kerana beliau gagal menggunakan pendekatan sains sukan dan ketegangan antara beliau dan seorang pegawai ISN.

The Star hari ini memetik jurulatih berusia 53 tahun itu sebagai berkata, beliau terkejut dengan dakwaan Khairy yang disifatkan tidak adil kerana bukan semua perkara di bawah kawalannya, walaupun beliau ialah ketua jurulatih.

“Saya jarang bercampur dengan penerjun selepas sesi latihan dan saya tidak memberi sebarang perhatian terhadap kehidupan peribadi mereka.

“Bagaimana saya boleh kawal semuanya? Saya benar-benar terkejut yang menteri itu boleh keluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.

Mengenai bekas jurulatih negara, Huang Qiang didakwa merogol seorang atlet terjun negara Oktober lalu, Yang berkata: “Saya terkejut. Saya tidak tahu mengenainya (sehingga dia didakwa).”

Yang menyertai skuad negara pada 2001 dan membimbang atlet terjun negara, Bryan Nickson Lomas memenangi acara 10m platform dalam Kejohanan Remaja Dunia 2004 di Brazil dan membantu skuad negara menjadi juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA 2005 di Manila, sebelum menerima satu tawaran kerja di Australia.

Beliau kembali membimbang pasukan Malaysia pada 2008 dengan beberapa kejayaan, termasuk membantu Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio pada 2016 dalam acara 10m platform seirama serta membantu Cheong memenangi pingat emas dalam acara terjun 10m platform individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary, Julai lalu.

Tiada ulasan: