PUTRAJAYA: Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pulih sepenuhnya sebentar tadi, selepas tergendala
sejak awal pagi tadi berikutan kerja penyelenggaraan segera yang perlu
dijalankan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan, perkhidmatan di
dua laluan aerotrain yang membawa penumpang dari bangunan terminal ke
bangunan satelit itu pulih sepenuhnya pada jam 3.48 petang tadi.
Sebelum ini, satu daripada dua aerotrain berkenaan mula beroperasi semula pada jam 11.22 pagi tadi.
"Kami berterima kasih kepada pasukan kejuruteraan kami yang tidak
henti-henti bekerja melakukan penyelenggaraan pembetulan segera kepada
tren ini.
"Kamu juga menghargai kesabaran anda dan memberi jaminan pasukan
operasi lapangan terbang kami di seluruh Malaysia bekerja keras untuk
memastikan anda menikmati pengalaman yang menggembirakan dan lancar
semasa musim perjalanan puncak ini," katanya dalam satu kenyataan.
MAHB awal pagi tadi memaklumkan perkhidmatan aerotrain itu terpaksa
dihentikan seketika berikutan kerja penyelenggaraan segera yang perlu
dilakukan bagi meningkatkan kemapanan perkhidmatannya.
Justeru, MAHB menyediakan 16 bas bagi membawa penumpang dari bangunan
terminal ke bangunan satelit bagi penerbangan antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan