Ahad, 24 Disember 2017

‘Pembahagian kerusi Parlimen Harapan hampir selesai’

KEADILAN DAILY

 

khalid-samad_11

Pembahagian kerusi parlimen di antara parti-parti di dalam Pakatan Harapan sudah semakin hampir untuk dimuktamadkan, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu mendedahkan perkembangan positif itu pada sidang media di pejabat beliau semalam.

“Pembahagian kerusi parlimen sudah mencapai 90 peratus dan sekitar 10 peratus lagi atau kurang daripada jumlah itu akan diselesaikan hujung bulan ini,” katanya, memetik SelangorKini.

Pada masa sama kata Khalid, beliau akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang disandangnya.

“Saya sudah semestinya di Shah Alam kerana tiada lagi kerusi di Johor atau negeri lain yang sesuai untuk saya,” katanya merujuk kepada gosip politik sebelum ini yang menyebut-nyebut kononnya beliau akan menentang abangnya, Tan Sri Shahrir Samad yang menyandang kerusi Parlimen Johor Bahru.

Pengesahan daripada Khalid selaku seorang ahli politik veteran pembangkang adalah perkembangan yang positif buat Pakatan Harapan yang sudah sekian lama bersedia untuk menentang Umno BN dalam pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan: