SEREMBAN: Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon diumumkan sebagai
calon parti itu di Parlimen Seremban dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan
datang.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemilihan Chong, yang
juga Timbalan Menteri Pendidikan adalah berdasarkan gerak kerja beliau
selain dilihat mempunyai komitmen tinggi dalam memberi khidmat kepada
penduduk Seremban ditambah keperibadian yang dinamik serta popular dalam
kalangan penduduk setempat.
"Saya minta penduduk di Seremban memberi sokongan kepada MCA kerana
kita perlukan perwakilan kaum Cina dalam kerajaan bagi memberi
perkhidmatan berterusan kepada masyarakat Cina," katanya kepada
pemberita selepas melawat Pasar Besar Seremban, di sini hari ini.
Mengulas hal itu, Chong melahirkan rasa berterima kasihnya kepada
pimpinan MCA di atas kepercayaan tersebut dan berjanji akan melaksanakan
tugas yang diberi dengan komitmen tinggi.
"Saya mohon pengundi Seremban memberi peluang kepada saya untuk membawa
suara Seremban masuk ke Parlimen kerana sebelum ini tidak banyak
isu-isu Seremban yang dibawa masuk ke Parlimen," katanya.
Kerusi Parlimen Seremban kini disandang oleh Anthony Loke Siew Fook
daripada DAP yang menewaskan calon MCA Datuk Dr Yeow Chai Thiam
(mendiang) dan tiga calon Bebas pada PRU13.
Sementara itu Liow memberitahu parti telah menghantar senarai pendek
calonnya bagi mendepani PRU akan datang kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan mengingatkan pengundi Cina supaya
tidak termakan dengan dakyah pembangkang demi meraih undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan