SHAH ALAM: Cikgu Azizan Manap tidak sangka niatnya mendidik anak bangsa memberikan kesan trauma mendalam terhadap dirinya.
Beliau yang sebelum ini berdepan kes mahkamah atas tuduhan mencederakan
murid sekolahnya di Nilai pada April lalu berkata kes itu hampir
menutup periuk nasinya.
Biarpun penolong kanan hal ehwal murid dibebaskan daripada dakwaan itu,
Azizan mengaku berasa perit dan hanya mampu berserah nasib kepada Yang
Maha Kuasa.
“Memang pengajaran yang sangat besar bagi saya. Saya akui trauma selama
beberapa bulan ini. Hanya kepada Allah saya serahkan untung nasib.
“Ia melibatkan perjawatan dalam pekerjaan dan juga periuk nasi saya.
Saya anak sulung, ibu sudah tua, ayah saya pula lumpuh,” katanya.
Memikil tanggungjawab keluarga di bahunya, Azizan tidak menyangka niat
baik mendidik anak bangsa bertukar kes mahkamah dan kontroversi.
Sudah memaafkan murid terbabit dan keluarganya, beliau berkata akan lebih berhati-hati pada masa depan.
“Secara peribadi minta maaf kepada semua orang, termasuk keluarga murid
tersebut. Saya maafkan anak mereka. Semoga dia berjaya dunia dan
akhirat.
“Niat saya baik untuk mendidik anak-anak murid,” katanya lagi.
Azizan, 44, dari Sekolah Rendah Taman Semarak didakwa dengan sengaja
menyebabkan kecederaan pipi murid 11 tahun pada jam 7 pagi, 6 April
lalu.
Didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, beliau bagaimananapun
dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut 19 Disember
lalu.
Jika sabit, beliau berdepan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan