Sabtu, 23 Disember 2017

Amanah cabar Najib batal pembelian pesawat RM41.9 bilion dengan AS

 
Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia dan juga pemimpin OIC perlu melakukan lebih banyak daripada sekadar bercakap dan demonstrasi dengan mengenakan tekanan ekonomi, boikot ekonomi atau diplomatik ke atas AS.


Dzulkefly-Ahmad-najib-razak-solidariti=putrajaya-malaysia

PETALING JAYA: Seorang pemimpin pembangkang mengkritik retorik Datuk Seri Najib Razak terhadap tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pengarah Strategi Amanah, Dzulkefly Ahmad merujuk ucapan “berapi” perdana menteri pada Himpunan Solidariti Baitulmaqdis di Putrajaya, semalam.

“Najib dalam lawatannya ke Amerika Syarikat pada September lalu, komited mengukuhkan ekonomi AS dengan berjanji membeli 25 pesawat Boeing 737-MAX 10, 8 Dreamliners 787 yang semuanya melebihi AS$10 bilion (RM41.9 bilion).

“Sekarang Donald Trump memutuskan untuk memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, adakah retorik Najib ‘melangkah mayat saya dulu’ dalam himpunan solidariti semalam, jaminan beliau untuk membatalkan tempahan Malaysia ke atas pesawat AS bernilai AS$10 bilion, sebagai permulaan?” soal Dzulkefly.

Dalam tunjuk perasaan di Masjid Putra semalam, Najib berkata, beliau tidak akan membiarkan Baitulmaqdis menjadi ibu negara Israel, bermakna beliau sedia berkorban demi kepentingan rakyat Palestin.

“Kita tidak akan berganjak, kita tidak akan berganjak daripada memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan mengembalikan Baitulmaqdis kepada mereka (seperti dijanjikan pemimpin Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayubi).

“Walaupun ia bermakna memotong saya sehingga kepingan kecil, hanya tinggal sekeping ‘daging’, kita tidak akan berganjak.”

Dzulkefly berkata, Malaysia dan juga pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu melakukan lebih banyak daripada sekadar bercakap dan menganjurkan demonstrasi besar-besaran.

“OIC, gabungan 59 negara Islam, organisasi kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu lebih kreatif dan bijak dalam respons terhadap cabaran Trump.

“Bukankah jelas kepada OIC dan dunia Islam pada umumnya yang Trump hanya memahami bahasa ‘dolar amat berkuasa’, dan sangat terdesak memulihkan ekonomi AS,” katanya.

Dzulkefly berkata, Trump berminat dengan hubungan perdagangan dan mahu menarik pelaburan asing dari negara kaya OIC.

“Namun, sidang kemuncak OIC baru-baru ini tidak pun menangani isu mengenakan tekanan ekonomi, apatah lagi mempertimbangkan boikot ekonomi atau diplomatik.

“OIC sepatutnya mengambil tindakan tegas, kreatif dan tidak konvensional untuk memberi pengajaran kepada Trump dalam ekonomi, diplomasi, berbudi bahasa dan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi, itu tidak mungkin berlaku dengan orang-orang seperti Raja Saudi, Raja Salman dan anaknya yang bercita-cita tinggi, mengukuhkan ekonomi AS dengan pembelian ‘senjata api’ bernilai AS$7 bilion untuk menghancurkan Yaman dan melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Qatar.”

Bekas pemimpin PAS itu turut mengingatkan Najib dan pemimpin OIC yang dunia sudah tahu mengenai rancangan Trump sebelum beliau dipilih tahun lalu.

“Harus diingatkan Trump dalam manifesto pilihan rayanya menyenaraikan pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, dan ini disahkan naib presidennya, Mike Pence pada Mei 2017.”

Tiada ulasan: