Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: PAS akan terus menggunakan lafaz bai'ah untuk mengikat
wakil rakyatnya setelah mendapat kuasa meskipun akur tiada tindakan
undang-undang yang boleh di ambil jika pimpinan parti melanggar
perjanjian berkenaan, ujar Mursyidul Amnya, Hashim Jasin.
"Berdasarkan pengalaman PAS yang begitu lama menghadapi pilihan raya,
bai'ah adalah satu tindakan yang diperlukan," katanya dalam pertemuan
bersama Antarapos baru-baru ini.
Hashim menjelaskan bai’ah adalah satu bentuk pengakuan yang menjadi keutamaan dalam PAS.
Malah ujarnya, bai'ah juga menyelamatkan pentadbiran Kelantan selepas pilihan raya umum 2004.
"Seperti yang berlaku di Kelantan dahulu, PAS hanya berkelebihan satu
kerusi sahaja (21 kerusi BNdan 22 kerusi PAS). Jadi bai'ah yang
menyelamatkan kerajaan negeri Kelantan kerana mengelakkan daripada wakil
rakyat dicuri ataupun dirasuah dan dibeli untuk menjatuhkan kerajaan
Kelantan.
"Maka bai'ah yang dibuat oleh Almarhum tok guru Nik Aziz dengan wakil-wakil rakyat itu menyelamatkan negeri Kelantan," katanya.
Untuk rekod, PAS hampir kehilangan Kelantan pada tahun 2004 selepas PAS
dan BN hanya dibezakan dengan kelelebihan satu kerusi DUN dengan dua
undi namun bai'ah telah menyelamatkan pentadbiran parti itu.
Lafaz bai’ah bukan perkara baru dan telah lama menjadi amalan PAS namun
pada 2004 Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewujudkan sumpah
bai'ah yang mengandungi talak tiga kepada wakil rakyatnya di negeri itu.
Perkara itu yang terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia
yang dibuat setiap wakil rakyat PAS di Kelantan sejak 2004 dijangka
akan dimansuhkan.
Bai'ah penting untuk mengelakkan pengkhianatan dalam PAS.
Mengulas lanjut, Hashim berkata kaedah yang dianggap tidak praktikal
oleh parti lawannya tetap dilihat sebagai keperluan kepada PAS selain
bertujuan meneruskan salah satu sunnah yang diperkenalkan oleh Nabi
Muhammad SAW.
"Kita mengikut sunnah Rasulullah apabila kita membuat satu persetujuan dengan mana-mana pihak maka bai'ah diperlukan.
"Sebagai contoh apabila Nabi hendak berhijrah ke Madinah dalam usaha
untuk mengembangkan agama Islam, Nabi melakukan bai'ah yang dipanggil
Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua," katanya.
Katanya lagi, bai'ah merupakan keperluan untuk menjamin tidak berlaku
pengkhianatan dalam PAS sebagaimana pentingnya perjanjian yang
dilaksanakan oleh Rasullullah SAW dengan individu yang terlibat ketika
itu.
Setiap calon PAS sama ada di peringkat Parlimen atau negeri diwajibkan
melafazkan bai'ah dengan mengangkat sumpah di hadapan pesuruhjaya
negeri.
"Antara kandungan bai'ah yang dibuat oleh Rasulullah SAW ialah mereka
mesti membantu muhajirin ataupun Nabi dan orang-orang Muhajirin yang
pergi ke Madinah dengan harta benda, jiwa raga, wang ringgit dan menjaga
serta memelihara mereka seperti mana mereka menjaga dan memelihara
keluarga sendiri.
"Hal ini penting kerana perjanjian ini menentukan jaminan keselamatan
orang-orang yang akan pergi begitu juga peristiwa Nabi yang melakukan
bai'ah dengan orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah, iaitu Bani
Quraizah, Bani Nadhir, Bani Qunaiqa’ dan dengan kabilah-kabilah Arab
yang ada," katanya.
Justeru Hashim menambah tiada sebab untuk PAS memansuhkan terus bai'ah
yang dilafazkan oleh setiap calonnya yang bertanding dalam pilihan raya.
"Jadi ini semua untuk menjamin bahawa keselamatan rakyat terutama orang Islam tidak diganggu gugat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan