Ahad, 31 Disember 2017

Kerusi terbanyak bukan kayu ukur lantik PM, kata Mukhriz

 
Timbalan presiden PPBM berkata rata-rata rakyat mahukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan baharu. 


Mukhriz21


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini berkata bilangan kerusi terbanyak bukan kayu ukuran dalam memilih perdana menteri kerajaan baharu.

Mukhriz menyenaraikan faktor kelayakan, pengalaman dan kepercayaan rakyat terbanyak untuk mengeluarkan Malaysia daripada “krisis” sebagai asas kepada cadangan mengangkat nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Pakatan Harapan.

Media sebelum ini melaporkan PPBM, Amanah dan DAP bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya gabungan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

“PPBM bukan mahukan jawatan perdana menteri untuk ‘glamour’, PPBM tuntut jawatan itu kerana dilihat paling layak dan berpengalaman untuk keluarkan Malaysia dari belenggu.

“Rakyat tentu suka manifesto PH bahkan rakyat juga mahu tahu siapa yang akan kepalai PH…rata-rata rakyat mahukan Dr Mahathir,” katanya sewaktu memberikan ucapan penggulungan di mesyuarat agung tahunan pertama PPBM di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.

Sebelum ini, PKR bertegas mahukan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri sementara sehingga ketua umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar penjara dan layak untuk menduduki jawatan itu.

Persetujuan PPBM, Amanah dan DAP di pemukiman 1 dan 2 Disember lalu tidak diumumkan kerana PKR mahu membincangkannya di peringkat parti.

Mukhriz memberitahu perwakilan bahawa rundingan antara komponen masih berlangsung.

“Jawatan perdana menteri itu bukannya habuan, oleh itu jawatan itu tidak perlu dikaitkan dengan kerusi yang kita tandingi. Kita hanya mahu satu calon yang disenangi dan diyakini rakyat.

“Atas sebab itulah, PPBM mampu memainkan peranan ini khususnya di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dua minggu lalu, Dr Mahathir menyatakan kesediaan menjadi calon perdana menteri sekiranya PH “terdesak” dan tidak mempunyai calon lain.

Mukhriz turut mengesahkan bahawa rundingan diantara parti serpihan Umno itu dan PAS gagal apabila parti Islam itu berkeras mendesak supaya PPBM tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Amanah.

“PPBM sudah putuskan hubungan dengan PAS, malah kita sanggup berhadapan 3 penjuru dalam pilihan raya umum nanti. Kita yakin, usaha gigih, kita tetap boleh menang 3 penjuru,” katanya.

Tiada ulasan: