Mazlan Aliman juga yakin Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim tahu maklumat perancangan
pembangunan tanah di Jalan Semarak.
PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mahu perdana menteri memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas kehilangan tanah milik Felda di Jalan Semarak.
Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak itu berlaku ketika Tan Sri Isa Samad yang dilantik Datuk Seri Najib Razak mengetuai Felda.
“Saya yakin kemungkinan Isa akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. Di sebalik tanggapan kita mengenai Isa, Najib tidak boleh melepaskan diri. Beliaulah yang melantik Isa, meskipun dibantah banyak pihak.
“Konsep ‘pertanggungjawaban bersama’ dengan erti kata lain, tidak harus Isa sahaja yang dipersalahkan. Maaf Najib, anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai 1 Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Berita Harian sebelum ini melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, selain Najib, beliau yakin Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim juga tahu perancangan pembangunan tanah di Jalan Semarak.
“Sebahagian ahli lembaga pengarah Felda ketika ini adalah orang yang sama terlibat ‘menganugerahkan’ tanah di Jalan Semarak untuk dimajukan.
“Dakwaan penipuan dan pecah amanah yang dikaitkan dengan tanah di Jalan Semarak boleh dielakkan, sekiranya Razali, ahli lembaga pengarah Felda menghalangnya dari awal.”
Beliau turut simpati dengan nasib Pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Samad yang terpaksa menyelesaikan masalah ditinggalkan pimimpin dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan