Sabtu, 30 Disember 2017

Selepas 4 dekad, Tan Seng Giaw disingkir dari kubu DAP di Kepong?

 
Ong Kian Ming, Ronnie Liu dan Datuk Zaid Ibrahim antara nama yang disebut-sebut akan menggantikan Dr Tan Seng Giaw.


Tan-Seng-Giaw-dap-logo

PETALING JAYA: Sama seperti Kubang Pasu untuk Tun Dr Mahathir Mohamad, nama Dr Tan Seng Giaw sukar dipisahkan daripada Kepong, kerusi Parlimen yang diwakilinya sejak 4 dekad lalu, walaupun sebelum beliau menyertai DAP.

Di dalam DAP, Dr Tan terkenal dengan kelantangannya terhadap pemimpin parti, termasuk Lim Kit Siang.

Jun lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat pendedahan mengejutkan mengenai Dr Tan tidak menghubungi pemimpin parti sejak awal tahun ini.

Ia selepas kenyataannya mengkritik kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana mengabaikan isu alam sekitar dalam meluluskan projek pembangunan.

Kini, timbul desas-desus Dr Tan tidak akan dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Kepong, di mana orang dalam DAP berkata, kemungkinan wujud muka baharu sejak PRU13.

Sumber dalaman DAP berkata, Dr Tan hanya dicalonkan di Kepong pada saat-saat akhir PRU13, di mana wakil rakyat berusia 75 tahun itu berjaya meraih majoriti terbesar di kerusi majoriti pengundi Cina itu, sejak kemenangan pertamanya pada 1978.

Ada spekulasi mengatakan zaman Dr Tan sudah berakhir dan beliau akan digantikan bekas exco Selangor, Ronnie Liu atau Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming.

Liu antara mereka yang dipilih semula menganggotai badan pembuat keputusan tertinggi DAP, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), dengan undi ke-17 terbanyak.

Ong yang juga ahli Parlimen Serdang pula disebut-sebut akan menggantikan Tan di Kepong pada PRU13 lalu.

Seorang sumber memberitahu FMT, Ong berkemungkinan besar diturunkan di Kepong.

“Jika Suruhanjaya Pilihan Raya meneruskan syor persempadanan semula, kerusi Serdang mungkin dinamakan Bangi dan menjadi kawasan majoriti pengundi Melayu. Disebabkan itu, Ong mungkin berpindah ke Kepong,” kata sumber itu.

Tetapi, DAP mungkin menggunakan peluang ini untuk membuktikan kepada pengundi Melayu yang mereka bukan parti berpusatkan orang Cina.

Nama yang kerap timbul ialah Datuk Zaid Ibrahim, ahli politik bukan ortodoks yang menarik hati pengundi bandar.

“Zaid mungkin diturunkan di kerusi itu untuk meningkatkan kedudukan DAP sebagai parti berbilang kaum. Beliau dilihat sebagai umat Islam yang lantang bersuara dan sederhana serta sering memperjuangkan hak orang bukan Islam,” kata sumber itu.

Bekas menteri itu menyertai DAP Februari lalu dan menyuarakan kesediaannya bertanding di kubu kuat Umno di Johor Bahru, atau di Kota Bharu yang pernah dimenanginya ketika bersama BN.

Zaid memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu di bawah tiket BN pada PRU 2004 dan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2008, sebelum beliau meletak jawatan pada 2009 untuk menyertai PKR.

Beliau kemudiannya meninggalkan PKR pada 2010 untuk menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) pada Januari 2011, sebelum meletak jawatan pada 2012.

Tiada ulasan: