Oleh Nur Atiqah Samad & Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan keperluan Tun Dr
Mahathir Mohamad diberi mandat penuh menjadi calon Perdana Menteri, di
sebalik cadangan untuk beliau hanya memegang sementara kerusi itu untuk
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhyiddin menegaskan Dr Mahathir harus diberi sokongan penuh untuk
menerajui kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya ingin menyatakan sokongan kita yang tak berbelah bahagi kepada
Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan Pengerusi Pakatan Harapan,
untuk memainkan peranan utama dalam barisan kepimpinan kerajaan Pakatan
Harapan (PH) nanti," kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
itu.
“Berdasarkan pengalaman Tun Mahathir memimpin Malaysia selama 22
tahun..kita tidak ragu-ragu bahawa Tun..akan meletakkan Malaysia kembali
di landasan betul dan sekali lagi memimpin negara kita menuju gerbang
kegemilangan,” tambah Muhyiddin pada perhimpunan agung (AGM) PPBM di
sini.
Dr Mahathir, pada umur 92 tahun, sebelum ini menlahirkan kesanggupan
menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan pernah menyatakan bahawa beliau
mempunyai idea-idea tertentu untuk dilaksanakan jika meneraju semula
negara.
Bulan lalu, pucuk pimpinan DAP, PKR, Amanah dan PPBM dilaporkan
bersetuju untuk Dr Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail diumumkan sebagai perdana menteri dan timbalannya jika PH
menang pilihan raya umum pada tahun ini.
PKR bagaimanapun dikatakan enggan memberi kata putus, sebaliknya
menunggu lampu hijau dari Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbul desas-desus bahawa PKR meletakkan tiga syarat untuk Dr Mahathir
dicalonkan sebagai PM termasuk mengusahakan Anwar dibebaskan segera dari
penjara dan dilantik Perdana Menteri dalam tempoh antara enam hingga 12
bulan.
Anwar dipenjarakan selama lima tahun selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
PH dijangka mengumumkan calon Perdana Menterinya pada konvensyen gabungan itu 7 Januari depan.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata ahli PPBM tidak harus taksub dengan
soal sama ada PH berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik atau
sebaliknya.
“Tidak kiralah samada pendaftaran PH diluluskan atau tidak, semangat
kita untuk berjuang di dalam sebuah gabungan politik tidak akan luntur.
Marilah benamkan perselisihan yang lalu,” ujar beliau.
PH berhadapan kesukaran apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
memberitahu bahawa parti itu masih gagal didaftarkan ekoran masalah
dalaman yang melanda PPBM dan DAP.
PPBM terpaksa mengadakan AGM selepas berdepan risiko dibubarkan RoS
selepa didapati melanggar beberapa peruntukan perlembagaan parti.
Pertama, gagal mengadakan AGM, kedua menangguhkan AGM tanpa peruntukan
parti dan ketiga menggunakan istilah Armada untuk sayap pemuda parti
yang mana ia bertentangan dengan perlembagaan partinya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan