Ahad, 14 Mei 2017

Sallehen: Noh manusia paling kecewa

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, sebagai 'manusia yang paling kecewa'.
 
Sallehen berkata demikian menjawab kenyataan Noh yang melabel PAS sebagai parti tidak bermaruah kerana masih kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun hubungan kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.
 
"Kenyataan Pengerusi BN Selangor tentang PAS Selangor dayus adalah ibarat meludah ke langit dan menggambarkan kekecewaan beliau kerana gagal memecahkan kerajaan negeri, seterusnya menarik PAS untuk bersama Umno.
 
"PAS terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini.
 
"Perbezaan yang ada antara parti adalah kelebihan kerajaan negeri yang ada pada hari ini terutama dalam mengambil kira maslahah rakyat dan memberikan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.
 
ADUN Sabak itu juga meminta Noh memahami terlebih dahulu makna tahaluf dan taawun sebelum mengeluarkan kenyataan secara melulu.
 
"Kejahilan untuk memahami inilah menyebabkan beliau minta exco PAS supaya meletakkan jawatan," katanya. 
 
Noh kelmarin melabel PAS Selangor sebagai parti 'tidak bermaruah' dan oportunis kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun kerjasama politik dengan PKR telah berakhir.
 
Dakwa Noh, alasan PAS untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah tidak munasabah.
 
Ini kerana menurut Noh, mandat rakyat adalah berdasarkan manifesto DAP-PKR-PAS yang diterajui bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sudah dipecat.
 
Mengulas lanjut, Sallehen meminta Ahli Parlimen Tanjung Karang itu belajar dari sejarah kerana PAS adalah parti yang tidak pernah menyokong usaha menjatuhkan Khalid sebagai menteri besar tiga tahun lalu.
 
"Disaat parti lain berpakat menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, PAS tidak turut berpakat. Bukan kerana peribadi tetapi keharmonian dan kesejahteraan rakyat itu jauh lebih penting.
 
"Apabila Dato Seri Azmin Ali dilantik, PAS tetap teguh untuk meneruskan agenda menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat.
 
"Inilah PAS yang Noh perlu belajar daripadanya," ujar Sallehen.
 
 

Tiada ulasan: