shahbudindotcom
Saya
membaca laporan Malaysiakini mengenai keengganan Tan Sri Apandi Ali,
Peguam Negara untuk mengesahkan sama ada dokumen dari laman SPRMInsider
yang saya dedahkan selama lebih dua minggu ada benar atau palsu.
Apabila
beliau enggan menjawab dan menukar topik kepada isu lain setelah
ditanya mengenai dokumen itu, secara tidak langsung beliau mengesahkan
kesahihan dokumen-dokumen itu.
Sebelum ini,
pihak berkuasa tidak pernah berlengah untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap saya walaupun isu yang saya bawa itu adalah
berkenaan kepentingan awam.
Minggu ini, saya menghabiskan masa selama seminggu secara berterusan untuk 2 kes berbeza yang dibawa Peguam Negara:
1) dakwaan di bawah BAFIA berkenaan pendedahan saya mengenai skandal NFC melibatkan keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil
2)
dakwaan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kononnya menyebarkan
berita buruk mengenai Tabung Haji atas pendedahan saya bahawa rizab
Tabung Haji telah menjadi negatif seperti yang terkandung di dalam surat
mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
Oleh
itu, jika ada sedikit pun yang tidak benar mengenai dokumen SPRMInsider
dan pendedahan-pendedahan yang saya telah buat setakat ini, saya yakin
saya telah pun ditangkap dan didakwa.
Bukan itu
sahaja, tidak ada seorang pun yang saya telah dedahkan menerima wang
dari akaun peribadi Dato' Seri Najib Tun Razak yang telah membuat
laporan polis atau menyaman saya atau menafikan dengan bukti.
Individu-individu paling penting (seperti berikut) pun tidak menafikan pendedahan saya:
1)
Dato' Seri Najib tidak menafikan membelanjakan RM3.2 juta di kedai
barang kemas mewah di Itali dalam satu hari yang dibayar dengan wang
yang berasal dari SRC
2) Dato' Amhari
Nazaruddin, pegawai khas Dato' Seri Najib tidak menafikan syarikatnya
Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato' Seri
Najib dari wang yang berasal dari SRC
3) Bank
Negara Malaysia tidak menafikan bagaimana seorang yang bernama Ariffin
Salleh telah menunaikan cek tunai bernilai RM43 juta dalam masa 3 minggu
dalam Januari 2015 yanh sudah tentu dikesan oleh Bank Negara; wang itu
berasal dari SRC dan disyaki dari suntikan dana dari Tabung Haji
4)
Tabung Haji sehingga kini tidak mengeluarkan satu pun kenyataan
menafikan penglibatannya dalam keseluruhan pindahan wang keluar masuk ke
akaun SRC melalui suntikan dana RM193.5 juta ke dalam Putra Perdana
Berhad, yang mana anak-anak syarikatnya digunakan untuk "melapiskan"
pindahan wang SRC ke akaun peribadi Dato' Seri Najib
Apabila
tidak ada seorang pun yang saya telah namakan secara terbuka menafikan
atau membuat laporan polis, saya semakin yakin bahawa kesemua pendedahan
itu dari dokumen SPRMInsider adalah benar.
Apatah lagi apabila Peguam Negara sendiri enggan menafikan kesahihan dokumen itu dan menukar tajuk perbualan apabila ditanya.
Oleh
sebab itu, Peguam Negara tidak ada alasan untuk tidak mendakwa
nama-nama yang saya telah dedahkan setakat ini apabila SPRM menyiapkan
kertas siasatan dan dihantar ke Kamar Peguam Negara dalam masa sebulan
seperti yang disebut Tan Sri Apandi Ali.
Saya
menanti Dato' Seri Najib dan Dato' Amhari Nazaruddin didakwa di mahkamah
dalam masa terdekat. Jika tidak, rakyat akan menghakimi Peguam Negara
yang bernama Apandi Ali ini.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
15 Mei 2017
Ulasan Blog -
Tempoh sebulan daripada sekarang tentunya detik yang ditunggu-tunggu
oleh seluruh rakyat Malaysia yang prihatin berkaitan dana SRC
International, anak syarikat 1MDB yang kemudian dipindah-milik kepada
Kementerian Kewangan yang mana diketahui dan diakui sebanyak RM42 juta
daripada syarikat itu mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri,
Najib Razak.
Apakah agaknya hasil siasatan SPRM dan keputusan Peguam Negara nanti?
Mendebarkan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan