Ahad, 21 Mei 2017

Jangan api-apikan Azmin


 
Oleh Subky Latif

DALAM suasana orang di luar PAS dan rapat dengan pentadbiran Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali keliru dengan kejadian putus tahaluf PAS dan PKR lupa semua langkah menggugurkan Perdana Menteri Najib dari jawatan perdana menterinya.

Sedang menggugurkannya dan melucutkan Barisan Nasional jauh penting dan lebih besar dari melucutkan tiga exco PAS di Selangor dari kerajaan negeri itu.

Ketiga-tiga exco itu telah bertemu Menteri Besar Azmin membincangkan perkembangan politik terakhir di Selangor itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi mereka dilihat selepas itu terus menjalankan tugas masing-mamsing sebagai exco seperti sebelum tahaluf siyasi ditamatkan.

Jika pun ada kenyataan mereka sekadar menafikan mereka diarah Azmin mengosongkan jawatan exco sebagai yang ditularkan.

Selagi tiada sesuatu dari Azmin, maka kita boleh agak kerjasama dalam kerajaan Selangor antara PAS, PKR dan DAP akan diteruskan hingga pilihan raya yang akan datang.

Reaksi terakhir Azmin terhadap keputusan Majlis Syura Ulama atas usul muktamar menamatkan tahaluf dengan PKR ialah beliau hendak berjumpa dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Ketika Tok Guru dalam perhatian rapi doktor kerana menjalani pembedahan jantung, tentu Azmin akan menziarahinya tetapi ia bukan masa yang baik untuk membinca n g k an kedudukan politik Selangor.

Jika Azmin terus berpendirian begitu, maka kita percaya tiada perubahan di Selangor.

Adat politik apabila ada yang dilihat cemas oleh semua, maka reaksi semuanya ialah jika PAS anak jantan dan bermaruah, mestilah mereka meletak jawatan. Dan masing-masing mengipas menteri besar supaya bertindak terhadap PAS yang memutuskan tahaluf dengan PKR. Memang tidak nampak logiknya parti-parti yang tidak bekerjasama lagi wajar bersama dalam kerajaan. Sesudah tidak mungkin berjaya mencabar PAS keluar kerajaan secara terhormat, maka semuanya mengapi-apikan Azmin bertindak meminggirkan PAS dari kerajaan.

Ada dua menunggu supaya PAS disingkirkan. Pertama ahli-ahli PAS yang keluar menubuhkan parti baharu yang berhajat untuk menggantikan semua kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor. Adunnya jadi exco dan yang bukan Adun diberi semua jawatan yang dipegang oleh PAS di semua tempat.

Yang kedua ialah Umno. Memang Umno di Selangor kerajaan menunggu sejak ia dikalahkan tahun 2008 lagi. Ia menunggu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun 2013. Ia gagal. Sekarang ia menunggu lagi dan dengan semua kerja mendayuskan PAS dan PKR – PAS tak mahu berhenti, PKR tak mahu menyingkirkan PAS, ia terus mahu mengelirukan semua dengan politik yang memang mengelirukan semua.

Kerja yang Tan Sri Noh Omar buat itu ada serampang dua matanya.

Pertama dengan kemungkinan porak-peranda gara-gara PAS disingkirkan, undi rakyat kembali kepadanya. Dan kedua ia boleh mengalih puaka 1MDB yang PM Najib, Umno dan kerajaan BN hadapi, moga semuanya sibuk atas sengketa PAS dan PKR lalu isu 1MDB mati ditelan suasana.

Padahal 1MDB itu ada pekong yang melanda Umno. Balanya menimpa rakyat dan negara dan pekungnya masuk ke hati setiap ahli Umno. Jika 1MDB itu ibarat kuman nyamuk zika, maka paru-paru, hati jantung dan darah orang Umno penuh dengan kuman itu.

Yang lain-lain semua menyumpah PAS sebagai tidak bermaruah tidak mengosongkan jawatan dalam kerajaan yang dipimpin oleh PKR/Pakatan Harapan termasuk sekalian yang melarikan kerusi PAS ketika masing-masing melarikan diri dari PAS.

Pendirian PAS ialah ia mahu kekal dengan mandat yang diberi rakyat selagi belum datang pilihan raya baharu. Sekalipun PAS memenangi kerusinya justeru muafakat Pakatan Rakyat, tetapi PAS bertanding atas namanya dan menggunakan simbolnya bulan penuh purnama.

Adapun kerusi-kerusi yang dilarikan itu dimenangi atas nama PAS dan berlambangkan lambang PAS.

Ada beza antara kedua-dua itu. Ada yang maruahnya jatuh dan ada yang maruahnya belum tentu jatuh.

Putus tahaluf itu adalah satu tindakan politik. Tindak politik tidak semesti sama dalam semua keadaan. Politik PAS ialah putus dengan PKR tetapi tidak putus dalam kerajaan yang ditegakkan bersama. Bercerai dengan PKR ada tindakan politik. Kekal dalam kerajaan pun satu tindakan politik juga.

Kebanyakan kerajaan yang ditegakkan oleh kerjasama beberapa parti politik pecah kerajaan bila parti berpecah. Tetapi PAS cuba perkenalkan pecah muafakat politik sesama parti tapi kerajaan tidak pecah.

Mungkin agaknya ia adalah gara- gara dan kaedah politik matang dan sejahtera yang PAS perkenalkan sekarang.

Kita tidak tahu marahnya DAP kepada PAS yang disangkanya amat pro-Umno. Tetapi marah PAS pada DAP tidak terkira. Semua tahu akan tingginya benci Umno terhadap DAP. Dan mungkin dalam suasana panas ini marah PAS pada DAP lebih panas dari marah Umno pada DAP.

Sekalipun PAS putuskan tahaluf siyasinya dengan DAP dua tahun dulu dan ia tamatkan dengan PKR, ia buktikan kepada pengalaman politik negara, PAS berkelahi dengan DAP di peringkat parti.

Tetapi tidak pada kerajaan Selangor. PAS bersama dengan DAP mempertahan dan mendukung kerajaan Selangor dan menyokong serta bekerjasama dengan menteri besar Selangor.

PAS tidak masuk Pakatan Harapan kerana dalamnya ada DAP. Tetapi PAS boleh duduk dalam exco kerajaan Selangor yang dalamnya ada DAP.

Mungkin orang semua kata PAS tidak bermaruah dan tidak ada prinsip. Mungkin yang ada prinsip dan maruah antaranya DAP. Jika DAP marah sangat dengan PAS dan tak mahu tengok muka PAS bersamanya lagi, tak mahukan kekalkan Pakatan Rakyat kerana dalam Pakatan Rakyat ada PAS, justeru DAP setuju tukar Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan, tetapi mengapa DAP tidak tinggalkan kerajaan Selangor yang dalam kerajaan itu ada PAS?

DAP suruh saja PAS tinggalkan kerajaan dan bila PAS tidak tinggalkan kerajaan ia juga tidak tinggalkan kerajaan. Ia minta Azmin gugurkan PAS, tapi kerajaan selangor tidak gugurkan PAS dan DAP kekal juga dalam kerajaan.

Maka dalam dua tahun ini PAS telah ajar DAP betapa mere-ka boleh berpecah dalam politik pada peringkat parti tetapi tidak berpecah politik dalam kerajaan.

Seperti yang falsafah politik pernah kata, sifir politik itu tidak sama dengan sifir matematik. Sifir matematik, dua campur dua jawabnya empat. Tetapi sifir politik dua campur dua belum tentu empat.
Ia boleh jadi tiga dan boleh jadi lima.

Jika dalam keadaan tertentu pecah sebuah kerajan campuran kerana pecahnya parti politik yang bekerjasama, tetapi keputusan politik yang PAS buat dengan PKR sekarang dan dulu dengan DAP, ia pecah sesama parti tapi tidak memecahkan kerajaan.

Ini para pendita politik di setiap menara gading wajar memahami politik pecah tahaluf yang PAS ambil.

Tahaluf di tamatkan sekarang tapi tahaluf dengan kerajaan kekal. Siapa kata ia bukan politik bijak? PAS memberi masa pada DAP dan PKR bersedia, tiada tahaluf sepenuhnya bila Parlimen dibubarkan. Tidak mahu PKR terperangkap, jika tahaluf tamat tidak dibuat awal.

Tiada ulasan: