KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan
mesyuarat tidak lama lagi bagi memilih presiden baru untuk menggantikan
Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kata Setiausaha agungnya, Datuk Dr
Stephen Rundi.
Stephen tidak menolak kemungkinan akan memanggil mesyuarat majlis
tertinggi parti itu sebaik sahaja selasai tempoh berkabung selama tujuh
hari susulan kematian Adenan, selaku ketua menteri Sarawak sejak
Februari 2014.
Pada lazimnya, presiden PBB menjadi ketua menteri negeri tersebut.
Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung
Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini, pada 1.24 tengah hari semalam.
"Presiden kami baru sahaja meninggalkan kami... mesti ada seseorang
mengambilalih. Biar kami menghormati tempoh berduka ini terlebih
dahulu," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir
kepada Allahyarham Adenan di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching hari
ini.
"Proses mengasah pemimpin baharu sudah diletakkan dalam PBB. Kami juga
mempunyai kokus dalam parti untuk membantu kami membuat keputusan," kata
beliau.
PBB kini mempunyai dua timbalan presiden yang memegang jawatan timbalan
ketua menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar
Douglas Uggah Embas.
Uggah merupakan menteri pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar
manakala Abang Johari adalah Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri.
Dalam Pilihan Raya Negeri 2016, Mei tahun lepas, PBB memenangi 40
daripada 72 kerusi dipertandingkan, justeru menjadi parti komponen
terkuat dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan