Jumaat, 27 Januari 2017

Ops Bersepadu MBSA: 8 premis makanan ditutup sementara

OLEH LIZAWATI MADFA

IMG_6326

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya lapan premis makanan ditutup sementara sempena Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sekitar Pusat Komersial, Seksyen 7, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, tindakan penutupan sementara diambil atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Establisyemen Makanan MBSA 2007.

Katanya, MBSA turut mengeluarkan tujuh notis dan 11 kompaun terhadap premis makanan terlibat atas kesalahan seperti tiada suntikan anti-Typhoid (TY2) dan membuang sisa makanan ke dalam longkang.
“MBSA sentiasa mengambil langkah menguatkuasakan peraturan serta mengeluarkan notis dan kompaun kepada premis yang gagal mematuhi syarat dan peraturan.

IMG_6249

“Kami juga tidak akan berkompromi dengan isu kebersihan dan tidak teragak-agak menutup premis makanan sekiranya terdapat urungan lipas atau tikus ataupun premis makanan yang mempunyai rating kebersihan di bawah 50 peratus,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA sentiasa mengadakan operasi secara berkala bagi memastikan kebersihan premis dan pengendalian makanan berada pada tahap tertinggi.

“Penyediaan makanan tidak bersih boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti demam tifoid, kolera dan keracunan makanan.

IMG_6145

“Setiap premis makanan diingatkan supaya menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan TY2 dan menghadiri kursus pengendalian makanan,” katanya.

Diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Norhisham Muhammad, operasi turut disertai Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Notis dan kompaun dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendalian Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.-nR-

Tiada ulasan: