Hakim mendapati kenyataan dikeluarkan Hasan Ali terhadap Khalid Samad sebagai fitnah.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berjaya dalam tuntutan saman fitnahnya di Mahkamah Tinggi terhadap bekas exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan demikian selepas mendapati kenyataan dikeluarkan Hasan terhadap Khalid yang menentang hukum syarak dengan menyokong penjualan arak sebagai fitnah.
Peguam Khalid, Faiz Fadzil berkata hakim mengarahkan Hasan membayar RM200,000 kepada Khalid sebagai ganti rugi.
“Hakim membenarkan permohonan Khalid dibenarkan kerana ucapan Hasan yang mengatakan Khalid menentang hukum syarak dalam isu arak dan mengatakan pengkhianatan kepada Islam adalah fitnah.
“Memandangakan beliau seorang ahli Parlimen dan pejuang Islam, hakim kemudian mengarahkan Hasan membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Khalid dan membayar kos pengurusan kepada mahkamah sebanyak RM35,000,” katanya ketika dihubungi.
Khalid memfailkan saman itu pada April 2016 susulan dakwaan beliau menyokong penjualan arak secara haram, pusat judi dan rumah urut di Selangor.
Khalid, pengarah komunikasi Amanah mendakwa ucapan fitnah itu dibuat semasa ceramah di Shah Alam pada 2012.
Katanya, rakaman video ucapan Hasan kemudian disunting dan dimuat naik ke Youtube dan boleh dicapai dengan mudah oleh orang ramai.
Khalid berkata ucapan Hasan itu tidak berasas, tidak benar dan merosakkan reputasi serta nama baiknya.
Plaintif juga mendakwa kenyataan Hasan menggambarkan beliau sebagai pemimpin anti-Islam dan mengkhianati agama kerana mempertahankan tindakan bertentangan dengan ajaran Islam.
Semasa keputusan dijatuhkan, Khalid dan Hasan tidak hadir di mahkamah, masing-masing diwakili peguam.
“Ayah saya ketika ini sedang berada di Arab Saudi dan tidak dapat datang,” kata Musaddiq, anak kepada Khalid.
Khalid dan Hasan pernah sama-sama bergiat dalam PAS tetapi dilaporkan sering berbeza pandangan sebelum ini.
Sementara itu, peguam Hasan, Hasnal Rezua MErican berkata pihaknya akan membuat rayuan atas penghakiman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan