Rabu, 25 Januari 2017

16 sekolah di Pahang tutup akibat banjir

ASTRO AWANI

16 sekolah di Pahang tutup akibat banjir
Bilangan sekolah yang ditutup sementara akibat terjejas dengan banjir meningkat kepada 16 buah melibatkan empat daerah di negeri ini. -Gambar fail
 

KUANTAN: Bilangan sekolah yang ditutup sementara akibat terjejas dengan banjir meningkat kepada 16 buah melibatkan empat daerah di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail berkata 14 sekolah lagi turut dijadikan pusat pemindahan sementara, namun sesi pembelajaran di sekolah berkenaan diteruskan seperti biasa.

"Enam belas sekolah yang ditutup itu adalah di Kuantan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing, SK Sungai Emas, SK Nadak, SK Bukit Kuin, SJK(T)(Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) Ladang Reman, SK Panching dan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Sungai Lembing.

Manakala Lipis melibatkan SK Chegar Perah, SK Kuala Kenong, SK Jeram Landak, SK Limau Purut, di Temerloh (SK Paya Luas, SK Penderas, SK Ladang Mentakab, SK Jenderak Selatan) dan Maran di SK Ulu Luit," menurutnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rosdi berkata, penutupan sekolah berkenaan disebabkan laluan yang ditenggelami air selain turut dijadian sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ia melibatkan melibatkan 2,947 murid, 318 guru dan 64 kumpulan sokongan.

Sementara itu, sebanyak 14 buah sekolah turut dijadikan sebagai PPS melibatkan daerah Kuantan di iaitu SK Kempadang, SK Beserah dan SMK Pandan.

Di Pekan pula sekolah yang terlibat ialah SK Seri Biram, SK Seri Terentang, SK Sinar Mutiara, SMK Peramu Jaya; di Lipis (SK Cegar Perah, SMK Merapoh, SK Kechor Tui, SK Pagar Sasak); di Raub (SK Tanjung Perah), di Maran (SK Senggora), manakala di Jerantut pula sekolah yang terlibat ialah SK Teh. -- BERNAMA

Tiada ulasan: