Isnin, 30 Januari 2017

Isu BMF diungkit untuk alih perhatian dari 1MDB?

MALAYSIAKINI



Peguam Haniff Khatri Abdulla mendakwa skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dimainkan semula dan dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan untuk mengalih perhatian ramai daripada isu 1MDB.

Katanya Datuk Seri Najib Razak menggunakan taktik "menyerang adalah cara terbaik untuk mempertahankan diri" bagi menutup perbincangan mengenai syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Sebaliknya, kata Haniff Khatri, kerajaan kini menuding jari kepada Dr Mahathir dan skandal BMF.

“Taktik ini dapat dilihat dengan percubaan untuk salah kait isu skandal BMF dengan Dr Mahathir semata-mata.

“(Ia) kerana skandal itu didedahkan pada era kepimpinan Dr Mahathir walaupun asal-usul skandal itu bermula sebelum zaman kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri," katanya.

Selasa lalu, laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) membayangkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir sedar berlaku urusan meragukan pada BMF yang mengakibatkan kerugian kira-kira AS$1 bilion pada 1980-an.

Sementara itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid semalam mendakwa bank pusat kerugian AS$10 bilion dalam pasaran pertukaran asing pada era Dr Mahathir.

Minta PM beri penjelasan

Murad berkata walaupun mengakibatkan kerugian besar, tetapi tidak ada siasatan berhubung perkara itu.
Dr Mahathir dalam responsnya berhubung dakwaan berkaitan BMF itu dengan menuduh CIA berkonspirasi terhadapnya.

Beliau juga menulis di blognya untuk menunjukkan perbezaan antara skandal BMF dan 1MDB, seperti laporan CIA berkaitan skandal BMF tidak mengaitkan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Haniff berkata Najib meneruskan usaha mengalih perhatian ramai dengan meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan dalamannya sendiri berhubung kerugian itu.

“Tanpa perlu mendalami isu dakwaan kerugian tukaran asing pada 1990-an itu, di tahap ini, di sini, apa yang lebih penting untuk rakyat yang prihatin selami dan fahami adalah percaturan jahat pihak Najib.

“(Ia) untuk salah alih pandangan dari skandal 1MDB dan krisis hilang percaya kepada kepimpinan Najib Razak kepada isu yang tidak mempunyai merit,” katanya.

Justeru Haniff menggesa supaya Najib selaku perdana menteri untuk tampil memberi penjelasan munasabah berkaitan 1MDB dan krisis hilang percaya kepada kepimpinannya.

“Percaturan anda dengan salah pakai akan konsep tuding jari kepada orang lain berkaitan isu-isu tidak bermerit pada hakikatnya menzahirkan pengakuan anda berkaitan salah laku skandal 1MDB dan krisis hilang percaya kepada kepimpinan anda selaku perdana menteri,” katanya.


Tiada ulasan: