Isnin, 23 Januari 2017

Pakatan bakal lancar kempen tolak parti ‘kingmaker’ bantu BN

 
Ini selepas PAS mendakwa gabungannya dengan sebuah parti kecil boleh bertindak sebagai kingmaker yang boleh mempengaruhi keputusan PRU14 nanti.


salahuddin-1


PETALING JAYA: Amanah berkata mana-mana gabungan pembangkang selain Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti perlu ditolak kerana ia bukan bertujuan untuk membantu pembangkang sebaliknya menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga ini adalah satu perancangan sulit dan rapi untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang yang semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat dewasa ini,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Tambahnya, Pakatan Harapan akan melancarkan “kempen besar-besaran ke seluruh negara” bagi menyedarkan orang ramai pakatan pembangkang selain Pakatan Harapan “adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN”.

Walaupun tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, Salahuddin dipercayai merujuk kepada apa yang dipanggil PAS sebagai Gagasan Sejahtera, iaitu kerjasamanya dengan sebuah parti kecil bernama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

PAS sebelum ini berkata ia merupakan “kingmaker” pada PRU14 kerana dapat menentukan pemenang.

Salahuddin bagaimanapun berkata parti yang membuat dakwaan itu tidak boleh dipercayai.

“Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi ‘king maker’ dan kelihatan pro-BN. Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,” katanya.

Salahuddin memuji Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana tidak berlengah menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

PAS bertindak tidak menyertai gabungan antara PKR, Amanah dan DAP itu, yang turut menyaksikan kerjasama dengan PPBM.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata partinya tidak akan lagi berunding dengan PAS kerana tempoh yang diberikan kepada parti Islam itu sudah tamat.

“Kalau boleh, kita mahu semua 5 parti (pembangkang) berada dalam satu pakatan. Tetapi malangnya, PAS mempunyai pendiriannya sekali gus menyukarkan proses penyatuan,” beliau dilaporkan berkata

Tiada ulasan: