Selasa, 31 Januari 2017

Penjaja Melayu, bukan Melayu terima layanan berbeza, dakwa PAS Pulau Pinang

 
Ketua PAS negeri berkata sementara peniaga bukan Melayu di kawasan bandar dibenarkan, penjaja Melayu di luar bandar diambil tindakan.


fauzi-penang-1


BUTTERWORTH: PAS mempertahankan kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan dasar Pulau Pinang mengenai Islam dan Melayu, dan berkata kerajaan pimpinan DAP itu juga mengamalkan 2 undang-undang berbeza ke atas peniaga Melayu dan bukan Melayu.

“Didapati wujud tindakan yang berbeza terhadap penjaja yang melanggar peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu,” kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.

“Terdapat sebilangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai mereka berbanding penjaja bukan Melayu yang tidak dikenakan tindakan perobohan,” tambahnya.

Beliau memberi contoh penjaja Melayu di kawasan luar bandar seperti Teluk Bahang dan Sungai Tiram yang dirobohkan gerai mereka, tetapi penjaja bukan Melayu di kawasan bandar seperti di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan Komtar tidak diambil tindakan sama.

“Bahkan, difahamkan terdapat di kalangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah merupakan warga orang kelainan upaya (OKU) yang juga penerima pinjaman Tekun,” katanya merujuk skim bantuan perniagaan Bumiputera tajaan kerajaan pusat.

Hadi pada Jumaat dilaporkan berkata DAP menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang. Ia disangkal Exco Hal Ehwal Islam negeri, Abdul Malik Kassim.

PAS dan DAP memutuskan kerjasama mereka selepas berselisih faham mengenai langkah PAS meneruskan usaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Ia membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, yang digantikan dengan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, parti diterajui beberapa bekas pimpinan tertinggi PAS.

Susulan itu, kerajaan Pulau Pinang mengarahkan semua ahli majlis PAS dalam pihak berkuasa tempatan meletak jawatan.

Pada Jun 2015, 2 ahli majlis mewakili PAS dipecat daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), manakala 2 lain meletakkan jawatan.

Fauzi berkata wakil PAS dalam MBPP pernah membantah tindakan “dwi standard” pihak berkuasa negeri.

“Namun, bantahan tersebut disanggah oleh wakil DAP di dalam MBPP ketika itu dengan alasan bahawa penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah kumpulan yang cenderung kepada Umno dan tidak perlu dipertimbangkan rayuan mereka.

“Bahkan wakil PAS tersebut pula dituduh sebagai rasis dan pro-Umno semata-semata kerana mempertahankan penjaja Melayu berkenaan,” katanya

Tiada ulasan: