Jumaat, 27 Januari 2017

Pelaburan Perisai: Tabung Haji rugi RM64 juta wang milik pendeposit

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) digesa mengemukakan penjelasan berhubung kegagalan institusi itu melupuskan saham Perisai Petroleum Teknologi Berhad (Perisai) lebih awal hingga menyebabkan kerugian RM64 juta.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kecuaian pengurusan TH akhirnya membawa masalah kerana RM64 juta itu adalah milik pendeposit dan ia sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos ibadah haji.

“Kenapa pengurusan TH tidak melupuskan saham Perisai lebih awal ketika mula-mula membelinya, sedangkan harganya ketika itu jatuh merudum kerana kemelesetan sektor minyak dan gas?

“Apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan dan lembaga pengarah yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini?

rafizi-lagi

“Apa tindakan yang diambil terhadap Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang diberi amanah untuk mengawalselia perjalanan TH?” soalnya pada sidang media di pejabat INVOKE hari ini, merujuk pendedahan terbaru kerugian TH akibat pelaburannya dalam Perisai.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, semakannya mendapati TH secara senyap-senyap melupuskan sebanyak 10.3 juta saham dalam Perisai pada 29 Disember tahun lalu.

Menurutnya lagi, sehari sebelum itu, pada 28 Disember tahun sama, TH telah pun menjual 8.8 juta sahamnya dalam Perisai.

Perisai adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewakan sistem carigali minyak (rigs) kepada syarikat minyak yang terlibat dalam aktiviti carigali.

Kata Rafizi, penjualan pada 29 Disember itu penting kerana akibat daripadanya menyebabkan jumlah saham yang dipegang TH jatuh ke paras bawah 5 peratus, sekaligus menjadikan TH pemegang kecil dalam Perisai.

“Saham-saham yang dilupuskan antara 28 dan 29 Disember sebanyak 19.1 juta dianggarkan diniagakan sekitar 5 sen sesaham, menyebabkan kerugian 78 sen sesaham atau RM15 juta.

“Pada anggaran 5 sen sesaham iaitu kerugian 78 sen, kerugian yang tidak dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh TH adalah RM47 juta.

“Jadi, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit TH atas pelaburan ini saja dianggarkan mencecah RM64 juta dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta,” tegas beliau.

Tiada ulasan: