Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS diingatkan tidak perlu masuk campur dalam urusan dan
struktur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Ketua
Penerangannya, Datuk Kamarudin Mohd Noor.
'Peringatan'
itu diberikan selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man menyuarakan kekeliruan terhadap tindak-tanduk Tun Dr Mahathir
Mohamad yang melebihi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu
dalam mengeluarkan kenyataan berkenaan usaha kerjasama politik dua
parti itu.
"Saya ingat beliau tak patut komen struktur parti kita. Struktur parti
kita itu kita punya hal," demikian menurut Kamaruddin ketika dihubungi
Antarapos.
Tuan Ibrahim pada semalam memberitahu partinya keliru dengan sikap Dr
Mahathir yang dilihat berlebihan berbanding Muhyiddin dalam mengeluarkan
apa-apa kenyataan membabitkan kerjasama PAS dan PPBM.
Sedangkan ujarnya, Dr Mahathir hanya sekadar penasihat parti yang tidak
terlibat dalam perbincangan dan rundingan dua parti tersebut.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, yang lebih arif dalam kerjasama yang mahu
dipupuk PAS dan PPBM ini adalah Muhyiddin dan timbalannya, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.
Sehingga beliau juga menyarankan parti itu menyelesaikan hal dalaman
ini dalam soal siapa yang lebih layak memberikan kenyataan dan keputusan
parti.
Sementara itu diajukan sikap tidak yakin PAS terhadap pertemuan bersama
yang akan diadakan 2 Februari depan, Kamaruddin bagaimanapun enggan
mengulas lanjut sehingga satu kata sepakat dicapai selepas itu.
"Apa-apa
pun, oleh kerana kita sudah tetapkan hendak berjumpa 2 Februari, kita
berjumpalah. Selebihnya tunggu selepas perjumpaan itu.
"Kita hendak kalahkan BN, lawan BN, bukan nak lawan PAS. Maka kita
hendak elakkan pertembungan sesama parti pembangkang," kata Kamaruddin
lagi.
Tuan Ibrahim mendakwa rundingan PAS-PPBM pada Khamis depan hampir pasti
'tidak akan menepati' kehendak segelintir pihak yang mahukan dua parti
itu mengadakan kerjasama politik menuju pilihan raya.
Bagaimanapun PAS akan menggunakan ruang pertemuan itu sebaik-baiknya
dalam mencari situasi 'menang-menang', meskipun sedar wujudnya
percanggahan dalam dasar perjuangan di antara dua parti berkenaan.
Semalam Dr Mahathir menasihati PAS supaya mengorbankan matlamat dan
pendirian mereka jika mahu bersama Pakatan Harapan (PH) dan PPBM, dalam
usaha menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan